‘Tak mampu bayar tambang, tumpang lori JKR saksi detik bersejarah’

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

MERLIMAU 2 Februari – “Saya sanggup naik lori Jabatan Kerja Raya (JKR) beramai-ramai kerana tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 20 Februari 1956.

“Atas semangat mahu merdeka dan bebas, rakyat Malaysia ketika itu menggunakan apa sahaja cara untuk ke Banda Hilir termasuk menunggang basikal, naik kereta lembu, naik bot dan macam-macam lagi,” kata Baharam Azit, 82.

Baharam berkata, dia ketika itu baru berusia 14 tahun yang bersemangat turut mengajak rakan-rakannya ke Banda Hilir bagi menyaksikan detik bersejarah bagi Malaysia.

Bapa kepada enam anak ini bersyukur, biarpun usianya sudah senja namun semangat dan pengalaman diperoleh pada hari bersejarah itu masih segar dalam ingatannya.

“Waktu itu saya bersekolah di High School Banda Hilir, jadi sudah menjadi kebiasaan saya mengenai selok-belok kawasan tersebut.

“Apabila orang bercakap tentang tarikh isytihar tersebut saya dan rakan-rakan merasa sangat gembira tidak sabar menunggu hari pengumuman itu.

“Tapi kami orang susah, tidak mampu bayar tambang bas 30 sen dari Merlimau ke Banda Hilir, nasib baik ada orang bantu untuk naik lori JKR ke Banda Hilir,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Katanya, pada hari berkenaan suasana di Banda Hilir amat meriah seumpama menyambut pesta besar dan dibanjiri lebih 100,000 orang termasuk yang datang dari luar Negeri Melaka.

“Saya tiba di Banda Hilir ketika itu pada jam 11 pagi dan pulang kira-kira jam lima petang selepas selesai menyertai beberapa aktiviti yang diadakan,” katanya.

Menurut Baharam pengalaman dilalui mendorongnya untuk menjadi seorang tenaga pengajar pada tahun 1965 dalam bidang sejarah.

“Minat mendalam terhadap sejarah mendorong saya menjadi seorang guru pada tahun tersebut, pada masa sama pelbagai artikel, jurnal dan buku turut saya hasilkan.

“Sehinggalah usia 55 tahun, saya menamatkan kerjaya dalam bidang pendidikan dan meneruskan penulisan tentang sejarah untuk disumbangkan kepada Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1998
Kongsi :
Previous post Pembinaan Litar RC bertaraf antarabangsa di Tanjung Bidara sedang diselaras
Next post Tiga anggota tentera maut dilanggar lori terbabas dekat Gurun
Ubah saiz-+=