Sorting by

×

“Tak boleh peluk, salam banduan”

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 27 Jun – Penjara Dusun Dato’ Murad tidak membenarkan ahli keluarga untuk bersalam atau memeluk banduan sewaktu lawatan di penjara berkenaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarahnya, Zamzuri Ghani berkata, arahan itu dikeluarkan bagi mengelak berlakunya jangkitan dalam penjara yang boleh merebak lebih cepat kepada semua penghuni dan kakitangan.

“Kita sudah membuka semula lawatan di penjara pada 15 Jun lalu dengan prosedur operasi standard (SOP) khusus seperti penjarakan sosial dan mewajibkan penggunakan pelitup muka.

“Selain itu, kita turut menetapkan agar ahli keluarga tidak bersalam atau bersentuhan dengan penghuni penjara kerana kita khuatir, jika ia menjangkiti banduan yang terkurung di sini, ia akan membuatkan virus ini merebak lebih cepat.

“Jadi, kita harap keluarga faham dan bersabarlah dahulu walaupun rindu nak peluk anak atau ahli keluarga mereka yang ada di sini,” katanya ketika ditemui di program Jelajah Sinar Kasih Musaadah Covid-19, di sini, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Zamzuri berkata, sesi lawatan di penjara berkenaan dibenarkan pada setiap hari namun, mengehadkan dua orang sahaja ahli keluarga untuk berjumpa banduan dalam perjumpaan bersemuka.

“Tiada had untuk ahli keluarga datang, tetapi untuk perjumpaan bersemuka di dewan terbuka, kita hadkan dua orang sahaja bagi setiap keluarga. Buat masa ini itu yang telah ditetapkan, termasuklah untuk lawatan semasa Hari Raya Aidiladha, bulan depan.

“Tetapi semua itu bergantung kepada arahan terbaharu kerajaan, jika ada perubahan, kita akan pertimbangkan semula,” katanya lagi.

Untuk rekod, sehingga sekarang terdapat 293 banduan telah ditempatkan di Penjara Dusun Dato’ Murad.

Views:

1155
Kongsi :
Previous post Melaka ikrar ‘sifar lubang’
Next post Pertubuhan Pembela Klebang Besar sedia khidmat kereta percuma
Ubah saiz-+=