Sorting by

×

TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0 DILANCARKAN HUJUNG TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 17 April – Kerajaan Negeri akan melancarkan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2.0 pada 31 Disember depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut beliau, pelancaran itu dibuat susulan TMM kini dilanjutkan sehingga 2026 bersempena Melaka dipilih sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025, selain Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) yang akan diadakan tahun depan.

Pada masa sama, ujar beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah bersetuju Melaka dipilih sebagai lokasi pelancaran VM 2026, sekali gus Kerajaan Negeri mengambil peluang untuk mempromosikan lagi pelancongan Melaka menerusi TMM 2.0 pada penghujung tahun.

“Insya-Allah TMM 2.0 ini akan dilancarkan penuh gilang-gemilang dengan pelbagai acara yang lebih menarik, selain dapat menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perasmian Taman Tema Snow World di Melaka Mall, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, lokasi pelancaran TMM 2.0 itu masih dalam perancangan dan akan diumumkan kelak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post MAIM SEDIA SUMBANGAN UNTUK MUALAF MELAKA TUNAI HAJI
Next post TAMAN TEMA SALJI MERCU PELANCONGAN BAHARU MELAKA