
‘TAHUN INI PELUANG ORANG MELAKA MASUK PERCUMA’
BANDA HILIR 20 Februari – Orang Melaka tidak melepaskan peluang pada tahun ini untuk memanfaatkan tawaran masuk percuma ke 13 destinasi pelancongan ditawarkan Kerajaan Negeri.
Pengunjung Hanizah Ibrahim, 42, dari Umbai berkata, pada awalnya dia tidak merancang untuk bersiar-siar bersama ahli keluarganya hari ini.
“Tahun lepas (2024) tak sempat datang Banda Hilir sebab jalan terlalu sesak, tetapi kali ini aliran trafik lebih lancar dan memudahkan kami datang ke bandar.
“Jadi saya dan keluarga ambil peluang datang ke Banda Hilir untuk menaiki Menara Taming Sari, singgah ke Muzium Samudera (Flor de La Mar) dan seterusnya Melaka River Cruise.
“Alhamdulillah anak-anak semua sangat seronok dapat merasai produk pelancongan percuma diberikan sempena cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu hari ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Muzium Samudera di sini, hari ini.

Manakala Faizal Nordin,48, dari Merlimau berkata hari ini adalah peluang untuk orang Melaka bercuti sehingga puas.
“Tahun lepas banyak tempat tidak boleh masuk percuma kerana terlalu sesak, jadi kali ini saya dan keluarga balas dendam datang awal pagi di Banda Hilir.
“Alhamdulillah parkir kenderaan pun mudah, masuk ke tempat percuma pun sangat mudah, fokus kami adalah untuk masuk ke semua muzium yang ada sempena cuti ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.