Sorting by

×

TAHUN BARU CINA: SWM TUMPU PEMBERSIHAN DI KAWASAN PELANCONGAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Januari – SWM Environment Sdn Bhd memberi tumpuan khas kepada perkhidmatan pembersihan di kawasan-kawasan utama pelancongan di pusat Bandaraya Melaka sempena Tahun Baru Cina ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, memandangkan negeri ini bakal menjadi tumpuan pelancong pada musim perayaan itu, pihaknya memberi di kawasan Bandar Hilir seperti Jonker Walk dan Bangunan Merah (Stadthuys), selain beberapa pantai peranginan dan kawasan rekreasi bagi memastikan aspek kebersihan terus terpelihara.

Jelas beliau, perkhidmatan pembersihan di kawasan berkenaan akan dilakukan pada jam 4 petang hingga 1 pagi bermula 29 Januari hingga 2 Februari.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan apabila berkunjung ke kawasan awam di negeri Melaka, khususnya kawasan-kawasan yang menjadi daya tarikan pelancong.

“Sebarang pertanyaan atau maklum balas berkaitan dengan perkhidmatan SWM Environment boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-887472 atau WhatsApp Rasmi 012-618 0082,” katanya.

Tambah Mohd Norlisam, kerja-kerja perkhidmatan kutipan sisa domestik dan sisa pukal sepanjang sambutan Tahun Baru Cina 2025 pula akan berjalan mengikut jadual seperti biasa tanpa penambahan atau sebarang perubahan kepada jadual perkhidmatan kutipan.

Jelasnya, ia termasuklah membabitkan jadual operasi perkhidmatan sapuan awam, pembersihan longkang dan pemotongan rumput.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menguruskan sampah di kediaman masing-masing dengan berhemah dan mengambil maklum tentang maklumat jadual perkhidmatan kutipan sisa domestik serta sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula dengan merujuk kepada papan tanda perkhidmatan di kawasan perumahan masing-masing atau di laman sesawang swm-environment.com,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, SWM Environment telah mengadakan program Ziarah Kasih sempena program SWM Kasih Misi Sampul Merah bersama Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, baru-baru ini.

Program itu bertujuan menyampaikan sumbangan SWM Kasih kepada keluarga kurang berkemampuan di sekitar kawasan Parlimen Kota Melaka.

Selain itu, syarikat berkenaan turut menyumbangkan 1,000 kit makanan SWM Kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka untuk diagihkan kepada penerima kurang bernasib baik di seluruh negeri sempena sambutan Tahun Baru Cina ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

125
Kongsi :
Previous post AYER KEROH LOKASI ‘WAJIB SINGGAH’ PEMINAT MOTOSIKAL, KERETA
Next post KOLAM AIR PANAS JASIN TIDAK TUTUP, HANYA TUKAR OPERATOR
Ubah saiz-+=