Tahun Baru Cina suram tanpa kemeriahan tarian singa

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER KEROH 9 Feb – Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) tahun ini bagaikan tiada serinya tanpa paluan gong dan simbang mengiringi tarian singa dan tarian naga yang menjadi lambang kebudayaan masyarakat Cina sejak berkurun lama.

Itu norma baharu yang perlu diadaptasi kaum Tionghua apabila sambutan yang disambut pada 12 dan 13 Februari ini hanya membenarkan acara makan besar melibatkan ahli keluarga tidak melebihi 15 orang.

Bagi Pengerusi Persatuan Tarian Singa dan Naga We Wei, Hau Han Wong, 36, tahun ini merupakan tahun paling bersejarah apabila dia dan ahli persatuannya seramai lebih 60 orang, pertama kali tidak membuat persembahan bagi merayakan sambutan itu.

HAN Wong mengemas peralatan tarian singa dan tarian naga yang sepatutnya digunakan untuk membuat persembahan sempena Tahun Baharu Cina tahun ini.

Bagaimanapun katanya, demi kebaikan tuan rumah dan masyarakat Cina, ahli persatuan akur dengan arahan ditetapkan kerajaan kerana tidak mahu bersesak ketika membuat persembahan.

“Sedih memang sedih, namun demi keselamatan semua pihak sama ada tuan rumah dan ahli persatuan, kita akur dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan kita tidak mahu mewujudkan kluster perayaan pula.

“Ada kebaikan juga tidak dapat membuat persembahan kerana keluarga ahli persatuan agak gembira apabila kami dapat berkumpul bersama mereka berbanding tahun sebelum ini, kami tiada bersama mereka dari awal pagi hingga lewat malam,” katanya.

Mengulas lanjut, Han Wong berkata, pendapatan persatuan yang 80 peratus bergantung kepada persembahan manakala 20 peratus lagi diperolehi daripada hasil persembahan pada hari biasa turut terjejas.

“Tahun ini sahaja, 20 tempahan awal terpaksa dibatalkan sejak kerajaan mengumumkan SOP perayaan itu tiga hari lalu.

“Setiap tahun, kita mampu meraih pendapatan sehingga RM100,000 kerana melakukan lebih 300 persembahan di sekitar negeri ini, Kuala Lumpur dan Johor dalam tempoh 15 hari pada sambutan perayaan itu.

“Dengan hasil itu, kita mampu menampung kos pengangkutan, elaun ahli, sewa pejabat dan latihan sepanjang tahun,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, sambutan tahun ini adalah giliran tahun lembu mengikut kitaran kalendar masyarakat Cina.

“Lembu melambangkan kerja keras masyarakat Cina menghadapi tahun baharu jadi sama juga situasinya dengan kita, yang mana kita akan bekerja keras untuk memperbaiki mutu persembahan.

“Walaupun bersedih tanpa tarian singa dan tarian naga, namun jika semua bersatu hati memerangi COVID-19, saya yakin tahun hadapan Tahun Baru Cina akan lebih meriah,”katanya.

Views:

1382
Kongsi :
Previous post Ibu kandung dan bapa tiri Amir dituduh esok
Next post 19 individu dilantik anggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021
Ubah saiz-+=