TAHUN BARU CINA : 318,000 KENDERAAN MASUK MELAKA
AYER KEROH 28 Januari – Polis Melaka menjangkakan 318,000 kenderaan akan memasuki negeri ini sepanjang pelaksanaan Op Selamat 23 sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2025 Peringkat Kontinjen Melaka bermula 28 Januari hingga 2 Februari ini.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata kenderaan akan memasuki negeri ini melalui tiga pintu masuk utama iaitu Tol Simpang Ampat, Tol Ayer Keroh dan Tol Jasin.
“Fokus utama operasi ini adalah untuk memastikan kelancaran aliran trafik dan meminimumkan kemalangan jalan raya disamping memastikan keselamatan harta benda orang awam terjamin.
“Sebanyak 103,000 kenderaan dijangka masuk ke Melaka melalui Tol Simpang Ampat, Tol Ayer Keroh 172,000 dan Tol Jasin sebanyak 43,000 buah.
“Seramai 17 pegawai kanan polis dan 138 pegawai rendah polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka akan ditempatkan di kawasan ‘hotspot’ sering berlaku kesesakan lalu lintas serta kawasan ‘blackspot’ kerap berlaku kemalangan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media peluncuran Op Selamat berkenaan di Tol Ayer Keroh di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata sempena Op Selamat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan arahan larangan pergerakan bagi kenderaan barangan daripada menggunakan jalan raya bermula 27 hingga 28 Januari 2025 dan 1 hingga 2 Februari 2025.
“Sepanjang op ini JSPT Melaka akan menumpukan enam kesalahan utama yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya antaranya memotong di garisan berkembar, memotong barisan.
“Memandu menggunakan alat telekomunikasi (menggunakan telefon, memandu melebihi had laju yang ditetapkan, memandu di lorong kecemasan dan gagal mematuhi lampu isyarat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.