Tahun Baru Cina 2022: Aktiviti makan keluarga, ziarah dibenarkan
Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata acara makan keluarga pada 31 Jan ini dibenarkan bersama ahli keluarga dan saudara-mara, tidak seperti tahun lepas dihadkan hanya 15 ahli keluarga yang tinggal dalam jarak 10 kilometer radius.
Beliau berkata penganjuran rumah terbuka bagi perayaan itu bagaimanapun tidak dibenarkan tetapi resepsi Tahun Baru Cina dibenarkan melibatkan individu yang mendapat jemputan sahaja dengan 50 peratus kapasiti ruang.
Halimah berkata resepsi yang dianjurkan syarikat atau persatuan perlu dilakukan di dalam dewan atau restoran dan bukan di tempat terbuka serta sesi majlis tidak boleh dibuat secara berterusan seperti rumah terbuka.
“Resepsi hanya bagi mereka yang dijemput sahaja boleh hadir dan selepas habis aktiviti makan, tiada pusingan kedua,” katanya dalam sidang media mengenai SOP Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 bersama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di sini hari ini.
Halimah berkata upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam pada 1 dan 2 Feb adalah dibenarkan dengan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4, selain sembahyang khas ‘Hokkien Clan’Â pada 8 dan 9 Feb serta aktiviti keagamaan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam.
Sembahyang Chap Goh Mei di rumah ibadat pada 15 Feb juga dibenarkan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4, katanya.
Halimah berkata turut dibenarkan adalah persembahan tarian singa, naga dan harimau yang tertakluk kepada SOP industri kreatif.
“SOP disediakan demi keselamatan masyarakat dan penganut,” katanya yang berharap perayaan itu disambut dengan kemeriahan dalam suasana selamat.
Sementara itu, Wee berkata SOP sambutan Tahun Baru Cina kali ini lebih longgar tidak seperti tahun lepas yang hanya disambut di rumah.
“SOP ini telah dibincangkan dengan teliti dalam tiga kali perbincangan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.
Wee yang juga Presiden MCA berkata parti itu akan menganjurkan resepsi Tahun Baru Cina tahun ini tetapi hanya melibatkan jemputan yang terhad.
Maklumat lanjut berhubung resepsi itu akan diumumkan Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon, katanya serta menambah MCA akan mematuhi SOP untuk memberikan contoh yang baik pada resepsi itu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.