Sorting by

×

TAHUN BAHARU CINA SATUKAN KELUARGA CAMPUR

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PAYA RUMPUT 1 Februari – Perbezaan agama bukanlah penghalang bagi sebuah keluarga di Taman Krubong Jaya, di sini, menziarahi sanak saudara berbangsa Cina setiap kali tiba Tahun Baharu Cina.

Seorang mekanik, Mohd Hanif Johari, 42, menjadikan aktiviti ziarah itu sebagai rutin setiap kali tiba perayaan di mana lokasi wajibnya adalah kediaman neneknya yang terletak di Pulau Gadong.

Namun selepas neneknya meninggal lebih 10 tahun lalu, dia bersama keluarga dan ibu berketurunan Cina tetap tidak lupa untuk berkunjung ke rumah ibu dan bapa saudaranya di Taman Merdeka Jaya dan Bukit Rambai sempena perayaan itu.

“Sewaktu nenek masih ada memang meriah, kerana ketika itu semua keluarga berkumpul beramai-ramai.

“Namun, selepas nenek tiada kami tidak melupakan sanak saudara dan akan tetap mencari kesempatan untuk bersama mereka apabila tiba perayaan.

“Kebiasaannya, kami yang beragama Islam akan membawa juadah seperti ketupat dan rendang bagi menjamu keluarga yang bukan beragama Islam dan itulah indahnya keluarga kami yang saling hormat-menghormati,” katanya kepada pemberita.

Menurut Mohd Hanif, ibunya, Norsham Abdullah, 68, memeluk Islam selepas diserahkan untuk dijaga oleh keluarga Melayu sejak kecil.

Katanya, meskipun dijaga keluarga angkat, ibunya tidak pernah memutuskan hubungan dengan adik-beradik kandungnya seramai 12 orang.

“Saya berharap keakraban ini akan diteruskan generasi muda dalam keluarga ini bagi memastikan keunikan kehidupan keluarga campur ini berkekalan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

122
Kongsi :
Previous post PEJABAT JKM MELAKA BAKAL BERPINDAH KE KOMPLEKS CMI
Next post KECEDERAAN LIGAMEN ANTERIOR TALOFIBULAR (ATFL)