Tahun Baharu 2021: Agong, Permaisuri doa negara pulih daripada musibah COVID-19
KUALA LUMPUR 31 Dis – Menzahirkan harapan tahun baharu 2021 akan lebih baik, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berharap vaksin COVID-19 yang bakal diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan transmisi koronavirus di Malaysia.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan harapan agar rakyat terus cekal dan sabar mengharungi pelbagai ujian ekoran wabak COVID-19 serta berdoa supaya musibah yang melanda pulih.
Penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia dan negara sejak awal tahun ini telah memaksa rakyat menjalani kehidupan harian di luar kebiasaan dalam pelbagai aspek malah mengancam keselamatan diri dan menjejaskan kesejahteraan ekonomi negara serta sosioekonomi rakyat.
“Seri Paduka Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, Malaysia sentiasa dirahmati nikmat keamanan dan perpaduan meskipun sepanjang  2020, negara yang kita cintai bersama ini dilanda pelbagai ujian,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini.
Menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu 2021 kepada seluruh rakyat Malaysia, Seri Paduka berdua menasihati rakyat supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda berdua sentiasa inginkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat jelata terpelihara dan ini amat bergantung kepada kestabilan politik dan pentadbiran negara,” katanya.
Dalam usaha mengekalkan kestabilan itu, Seri Paduka Baginda berdua sekali lagi menasihati semua pihak, khususnya ahli-ahli politik supaya mengurangkan agenda dan ketegangan politik dengan bersama-sama berganding bahu dan memberi tumpuan membela kebajikan rakyat serta mengutamakan proses pemulihan ekonomi negara.
“Seharusnya, kita semua perlu sentiasa bermuhasabah untuk mengambil iktibar serta teladan daripada peristiwa dan cabaran yang telah dilalui pada tahun lalu untuk memperbaiki diri, keluarga, komuniti dan negara secara keseluruhannya,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berdoa agar keamanan dalam negara dapat dikekalkan serta keharmonian hubungan antara kaum, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat yang sentiasa berpegang pada prinsip rukun negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
“Allah SWT sentiasa membantu orang-orang yang berusaha, dengan semangat perpaduan dan daya tahan yang jitu kita mampu bersama menghadapi segala cabaran dan ujian.
“Semoga tahun 2021 dikurniakan oleh Allah SWT dengan keadaan lebih baik berbanding tahun-tahun yang lalu,” titah Seri Paduka.
Mengajak seluruh rakyat bersama-sama mendoakan negara sentiasa dilindungi daripada segala bentuk ancaman serta dikurniakan perpaduan dan kemakmuran berkekalan, Seri Paduka berdua mendoakan pemerintah, pemimpin dan rakyat di negara ini terus dirahmati dan diberkati Allah SWT. – BERNAMA