Sorting by

×

‘Tahu-tahu dah sudah’- Ketua Menteri

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 2 Mac. – “Tidak terasa, tahu-tahu dah sudah, it’s just a small needle (mereka gunakan jarum suntikan yang kecil),” kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Beliau berkongsi pengalamannya menerima suntikan vaksin dos pertama Pfizer-BioNTech di Dewan Seri Negeri, di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera bagi menerima suntikan berkenaan.

SULAIMAN ketika mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

“Yang di luar sana, jangan bimbang untuk mengambil vaksin ini. Saya menyeru kepada semua apabila sampai masa dipanggil, datanglah (menerima suntikan) demi kebaikan diri sendiri dan rakyat negeri,” katanya.

Sulaiman menjadi individu pertama di negeri ini yang menerima suntikan vaksin berkenaan pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri Melaka hari ini.

Turut menerima suntikan di dewan berkenaan, 60 individu lain termasuk barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Menurut Sulaiman, program berkenaan berlangsung dengan lancar dan teratur dengan penyediaan lima stesen yang dikendalikan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

“Menerusi stesen pertama, individu yang menerima suntikan akan menjalani saringan suhu sebelum melakukan pedaftaran menerusi aplikasi MySejahtera di stesen kedua.

“Di stesen ketiga adalah proses taklimat dan konsultasi yang akan memaklumkan mengenai vaksin berkenaan sebelum menjalani suntikan vaksin di stesen keempat.

“Stesen kelima adalah stesen bagi pemantauan selama setengah jam bagi mengesan sebarang tindak balas dan dalam tempoh itu tidak dibenarkan makan atau minum,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri, Aris Sahat, 51, berkata dia berasa bertuah menjadi antara individu pertama menerima vaksin berkenaan bersama-sama Ketua Menteri Melaka.

“Tiba-tiba nama dipetik untuk duduk bersama Ketua Menteri, ia menjadi sejarah dalam diri saya,” katanya yang sudah 24 tahun berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

353
Kongsi :
Previous post Padah pindah babi tanpa kebenaran JPV, peniaga didenda RM6,000
Next post Gunung Sinabung di Sumatera Utara meletus
Ubah saiz-+=