Tahfiz TVET skuba Pulau Besar – Exco
AYER MOLEK 3 Mei – Maahad Tahfiz Bistari (MTB) Pulau Besar akan dijadikan sebagai Pusat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Tahfiz pertama di Malaysia pada Julai depan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata pusat tahfiz itu akan menyediakan kursus selam skuba, sekali gus membuka jalan untuk mereka mendapat lesen profesional.
Rahmad berkata, perancangan dilaksanakan berjaya Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu masih lagi mengekalkan kursus utamanya iaitu pendidikan hafazan al-Quran.
“Selepas tamat pengajian, pelajar ini sudah memiliki sijil penyelam profesional yang membolehkan mereka mendapat tempat di sektor awam atau swasta.
“Insya-Allah sekarang kita dalam proses akhir perbincangan bersama pihak swasta berminat mengendalikan kursus ini, perancangan kita Julai nanti perancangan ini dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Kompleks Japerun Ayer Molek di sini, hari ini.
Terdahulu rumah terbuka berkenaan dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum.
Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil dan lain-lain kenamaan.
Katanya, bagi peringat awal pihaknya menjangkakan sekitar 80 pelajar tahfiz akan mengikuti kursus berkenaan.
“Kursus skuba ini terbahagi kepada pelbagai kategori, impian kita adalah apabila berjaya mendapat lesen kelak, pelajar ini akan mengisi keperluan tenaga kerja bagi tugasan bawah air,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.