Tahfiz di Johor disaran tawarkan TVET – Hasni
JOHOR BAHRU, 7 Feb – Semua sekolah tahfiz di Johor disaran menawarkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melengkapkan pelajar dengan ilmu serta kemahiran tambahan.
Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata selain ilmu agama, latihan kemahiran itu dapat memberi nilai tambah dan pengetahuan kepada pelajar sekali gus meningkatkan kebolehpasaran kerja selepas tamat pengajian.
“Saya secara peribadi mengharapkan agar semua institusi pendidikan Islam dapat melahirkan anak-anak pelajar yang bukan sahaja alim dalam bidang agama, malah mahir dalam bidang lain untuk memberi sumbangan fardu kifayah kepada masyarakat.
“Program TVET ini merupakan antara usaha kerajaan membantu pelajar sekolah agama, tahfiz dan pondok di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerajaan sentiasa komited dalam merencana pelan pendidikan bersepadu untuk para pelajar, sama ada dalam bidang akademik mahupun keagamaan terutamanya bagi pelajar-pelajar sekolah tahfiz.
“Saya berasa bangga kerana usaha ini adalah memastikan semua sekolah tahfiz mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) supaya perkembangan sekolah berkenaan akan dapat diurus dengan baik, seterusnya membolehkan pelbagai bantuan dapat disalurkan bagi kepentingan semua pihak.
“Pelbagai langkah dibuat untuk memastikan para pelajar mendapat pendidikan yang sempurna, terkini dan sentiasa ke hadapan, sesuai dengan agama Islam itu sendiri yang bersifat anjal dan sejagat,” katanya sambil menambah proses itu akan dapat dipermudahkan lagi dengan adanya garis panduan yang dibukukan dan diterbitkan oleh JAIJ menerusi Johor Tahfiz Quality Assurance (JTQA).
Pada Majlis Pelancaran Johor Tahfiz Quality Assurance (JTQA) di sebuah hotel semalam, Hasni turut menyampaikan bantuan pengurusan tahfiz sebanyak RM1 juta. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.