TAHAP KEBERSIHAN TAK MEMUASKAN, DAPUR DUA HOTEL DIARAH TUTUP

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 22 November – Dapur di dua hotel di negeri ini diarahkan tutup selepas kebersihan di premis berkenaan berada dalam keadaan tidak memuaskan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) Dr. Ruzita Mustaffa berkata, Op Hotel Siri II dijalankan pasukan penguatkuasa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan selama dua hari iaitu pada 11 dan 12 November lalu.

“Sepanjang dua hari Op Hotel siri II kami memeriksa 41 buah hotel dan hasilnya dua dapur hotel di daerah Melaka Tengah diarahkan tutup sementara selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Tindakan itu dibuat selepas penguatkuasa mendapati tahap kebersihan dapur hotel terbabit tidak memuaskan,” katanya.

Whatsapp Image 2024 11 22 At 1.45.12 Pm (1)
PEGAWAI Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menampal notis penutupan sementara selama dua minggu di sebuah premis yang didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang memuaskan.

Dr. Ruzita berkata, sepanjang operasi sama pihaknya mengeluarkan 33 kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang keseluruhan berjumlah RM11,475.

“Antara kesalahan yang dikesan pasukan penguatkuasa sepanjang operasi adalah pengendali makanan tidak memakai apron dan penutup kepala serta menggunakan bahan mentah yang telah tamat tarikh

“Selain itu, turut ditemui adalah najis lipas, cicak, lalat dan tikus di dapur premis. Malah enam hotel pula dikenal pasti ada tempat pembiakan jentik-jentik,” katanya.

Mengulas lanjut Dr. Ruzita berkata, Op Hotel Siri II dilaksanakan JKNM bagi memastikan kebersihan premis makanan berada pada tahap memuaskan.

“Bukan setakat memastikan keselamatan makanan yang dihidangkan, tetapi ini adalah antara usaha dan persediaan kami laksanakan sebelum Melaka menjadi tuan rumah World Tourism Day 2025 (WTD 2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia.

“Berikutan itu semua pengusaha hotel dan premis makanan disarankan agar sentiasa memastikan tahap kebersihan berada pada tahap memuaskan, sekali gus menjamin kualiti makanan disediakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

70
Kongsi :
Previous post ANGGOTA POLIS DIDAKWA CURI RANTAI LEHER, RANTAI TANGAN MILIK WANITA YANG MENINGGAL DUNIA
Next post GEDUNG LANDSKAP MPJ
Ubah saiz-+=