TABUNG AMAL JARIAH NEGERI MELAKA MEDIUM INFAQ MASYARAKAT

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PENGKALAN BATU 17 September – Tabung Amal Jariah Negeri Melaka yang diwujudkan bukan sahaja memberikan kemudahan, sebaliknya diharap dapat menggalakkan orang ramai khusus penjawat awam untuk berinfaq, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, tabung diwujudkan sejak dua tahun lalu itu kini diselia Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan sumbangan terkumpul diagihkan kepada pelbagai institusi pendidikan di negeri ini.

Katanya, secara purata tabung itu mengumpul sumbangan berjumlah RM5,400 setiap bulan hasil daripada potongan gaji 751 orang penjawat awam Negeri Melaka.

“Antara yang menerima agihan adalah Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang mana sumbangan ini digunakan untuk melengkapkan fasiliti pembelajaran dan pengajaran seperti membeli komputer, membina tangki air dan pagar.

“Malah, pada kali ini turut diadakan pengagihan sumbangan sebanyak 40 unit kerusi batu kepada 15 buah sekolah di Melaka dengan keseluruhan kos berjumlah RM16,400,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024 di Dataran Pusat Islam, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Barisan Exco Kerajaan Negeri; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim serta tetamu lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

110
Kongsi :
Previous post ISLAM CERMINAN PERIBADI MUSLIM
Next post MELAKA TIDAK KOMPROMI TERHADAP GERAKAN AJARAN SESAT
Ubah saiz-+=