Taboh Naning bakal gamit pelancong
TABOH NANING – Pembangunan pesat di Melaka Tengah mungkin menjadi sebab Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, kurang popular dalam kalangan pelancong meskipun memiliki kepelbagaian keindahan alam dan tarikan semula jadi.
Berikutan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Zulkiflee Mohd Zin, berazam untuk mewujudkan lebih banyak produk eko pelancongan di kawasan itu yang menjadi laluan masuk ke Melaka, kedua paling sibuk selepas Ayer Keroh.
Zulkiflee berkata, selain itu turut menjadi keutamaan baginya untuk meningkatkan kemudahan asas seperti jaringan jalan raya dan menyediakan kediaman lebih selesa khusus buat golongan B40 menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
NAIK TARAF PLAZA TOL SIMPANG AMPAT
Setiap kali hujung minggu atau musim cuti berlaku kesesakan di Plaza Tol Simpang Ampat, ia mengakibatkan pengguna mengalami kelewatan antara 40 minit hingga satu jam.
“Mengikut cadangan laluan dari Petronas Simpang Ampat ke bulatan berhampiran plaza tol dinaik taraf. Lorong di kedua-dua arah perlu ditambah bagi melancarkan lagi aliran trafik.
“Satu lorong sahaja ketika ini tidak mampu menampung jumlah kenderaan tinggi. Selain itu saya juga berharap lorong keluar dan masuk di Plaza Tol Simpang Ampat ditambah,” katanya.
PERKASA PRODUK EKO PELANCONGAN, MAKANAN
Air Panas Cherana Putih, menjadi antara lokasi pelancongan dicadangkan untuk diperkasakan dengan memperhebatkan lagi promosi, sekali gus menarik lebih ramai pelancong tempatan dan dari luar Melaka.
Menurutnya, ia adalah sebahagian daripada perancangan untuk meningkatkan lagi jumlah kedatangan ke Taboh Naning yang masih segar dengan suasana kampung asli.
“Sebenarnya Taboh Naning, dikelilingi hutan yang masih tebal, berikutan itu udara di sini lebih segar dan dingin, amat sesuai untuk kita bangunakan dengan pelbagai lagi produk eko pelancongan termasuk di perkampungan masyarakat Orang Asli Bukit Payung.
“Bagi yang mahu menjamu selera, kita di sini juga banyak lokasi menawarkan hidangan menarik. Jadi tidak keterlaluan jika saya katakan Taboh Naning Amat sesuai sebagai lokasi persinggahan kedua selepas Melaka Tengah,” katanya.
Katanya, peningkatan kedatangan pelancong secara tidak langsung membantu penduduk tempatan dan peniaga kecil meningkatkan lagi jumlah jualan.
Aneka produk kampung ditawarkan seperti makanan tradisional, dodol cair, barangan kraftangan, hasil hutan dan pelbagai buah-buahan termasuk durian.
KEMUDAHAN SELESA UNTUK RAKYAT
Jaringan jalan perhubungan desa yang baik dan sistematik bukan saja memberikan keselesaan kepada penduduk di luar bandar sebaliknya amat perlu dalam usaha mentrasformasi Taboh Naning sebagai DUN eko pelancongan.
Berikutan itu kemudahan asas itu akan terus diberikan perhatian dan dinaik taraf dari semasa ke semasa agar selari dengan pembangunan di semua kawasan.
Selain itu cadangan pembinaan taman rekreasi berhampiran sungai berhadapan Japerun Taboh Naning bakal menjadi ikon baharu bagi DUN itu.
“Bukan setakat ikon tetapi saya mahu penduduk DUN ini ada tempat selesa dan segar untuk melakukan aktiviti riadah, bila siap nanti mungkin ia akan popular dalam kalangan pelancong luar,” katanya.
KLINIK KESIHATAN BAHARU
Meskipun kepadatan penduduk di DUN Taboh Naning masih rendah, menyediakan kemudahan kesihatan lebih berkualiti adalah keutamaan Zulkiflee, berikutan penularan pelbagai jenis wabak ketika ini.
“Persediaan awal amat perlu, saya membayangkan Taboh Naning memiliki sebuah klinik kesihatan baharu dilengkapi kemudahan pesakit luar dan jabatan kecemasan selain mengutamakan keselesaan pesakit serta pelawat dengan menyediakan parkir mencukupi.
“Klinik kesihatan baharu itu dicadangkan untuk dibina di kemudahan sedia ada diharapkan ia akan disegerakan,” katanya.
BIODATA:
Nama: Zulkiflee Mohd Zin
Umur: 54
Politik: Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Masjid Tanah
Karier:
-Ahli Dewan Undangan Negeri Taboh Naning (2021 – Kini)
-Ahli Perniagaan
Trivia DUN Taboh Naning
Kampung: 14
Taman Perumahan: 8
Rumat ibadat (masjid): 8
Sekolah: 9 (7 sekolah rendah, 1 sekolah menengah, 1 Maktab Rendah Sains Mara)
Institusi Pengajian Tinggi: 2
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.