Tabika, taska, pusat jagaan harian dibenarkan beroperasi di negeri fasa 1 dan 2 PPN
KUALA LUMPUR 15 Sept – Tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda untuk anak-anak yang ibu bapanya bekerja, dibenarkan beroperasi di negeri Fasa Satu dan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 17 September.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang hari ini bersetuju untuk memberi kelonggaran kepada beberapa sektor.
“Operator dan pekerja di pusat-pusat ini perlu menerima vaksinasi lengkap sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata berkuat kuasa pada tarikh yang sama, aktiviti kolam memancing juga dibenarkan dengan mematuhi syarat vaksinasi lengkap di negeri Fasa Satu bermula 6 pagi hingga 8 malam di daerah sama manakala 6 pagi hingga 10 malam di negeri yang sama bagi negeri Fasa Dua.
Turut dibenarkan adalah pengoperasian Institut Latihan Sektor Pengangkutan Udara dan Darat di negeri Fasa Dua PPN yang berkuat kuasa pada 17 September.
Ismail Sabri berkata, selain itu, mesyuarat juga bersetuju memberi kelonggaran baharu bagi aktiviti sukan dan rekreasi di negeri Fasa Dua dan Fasa Tiga PPN.
“Aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka dan tertutup dibenarkan kepada individu telah lengkap vaksin menerusi tempahan.
“Aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan yang melibatkan sentuhan fizikal seperti bola sepak, bola tampar, takraw dan lain-lain juga dibenarkan mengikut kapasiti penuh sukan tersebut terhad bagi individu yang telah lengkap vaksin dan dilakukan di premis yang mempunyai kawalan penyeliaan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, zumba dan seumpamanya yang dilakukan secara berkumpulan di kawasan atau premis yang sama dibenarkan bagi individu yang lengkap divaksin dengan seliaan jurulatih atau pengajar dan mematuhi 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 50 orang, mengikut mana yang lebih rendah.
Selain itu, beliau berkata, aktiviti ziarah kubur untuk umat Islam dan bukan Islam juga dibenarkan di semua fasa PPN dengan mengikut ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Turut dibenarkan di semua fasa PPN adalah pengoperasian kapal persiaran dengan semua anak kapal dan penumpang lengkap divaksin dan mematuhi 50 peratus kapasiti.
Kebenaran terhadap aktiviti sukan, rekreasi, aktiviti kecerdasan, ziarah kubur serta pengoperasian kapal persiaran dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan yang dinyatakan berkenaan juga berkuat kuasa pada 17 September.
Perdana Menteri turut mengumumkan peralihan ke Fasa Tiga bagi Terengganu berkuat kuasa 17 September.
“Kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri-negeri yang telah memasuki Fasa Tiga sebelum ini. Keterangan Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini akan dikemas kini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di laman sesawang www.mkn.gov.my,” katanya.
Ismail Sabri berharap rakyat terus patuh pada SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
“Kesediaan kerajaan membenarkan lebih banyak kelonggaran tidak bermakna kita sudah boleh mengabaikan langkah-langkah keselamatan yang diamalkan selama lebih setahun ini.
“Justeru, saya berharap kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.
“Patuhilah setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup separuh muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri.
“Pihak penguat kuasa akan sentiasa memantau dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya didapati ada pihak yang melanggar garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.