TABIB ADAM ‘GHAIB’

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

MASJID TANAH 25 Oktober – Tabib Adam atau nama sebenarnya Adam Isa sedang diburu Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi membantu siasatan berhubung amalan dan aktiviti perubatan yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, ia susulan pengamal perubatan itu gagal dikesan dalam serbuan ke atas Pusat Terapi Tabib Adam yang terletak di Kampung Lekok, Masjid Tanah.

Malah, menurut beliau, panggilan telefon oleh Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) ke atas tabib berkenaan dan isteri juga tidak dijawab.

Menurut Rahmad, serbuan telah dilakukan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan JAIM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Jabatan Kesihatan Negeri dengan kekuatan 38 anggota, semalam.

Jelas beliau, ia dilakukan selepas menerima aduan awam yang menyatakan bahawa pusat perubatan itu masih beroperasi walaupun telah difatwakan haram oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.

Ia berikutan amalan dan aktiviti perubatan Pusat Perubatan Islam Jarak Jauh Sunan Kalijaga atau Pusat Terapi atau apa-apa nama amalan dan aktiviti perubatan Iain yang dikaitkan dengan Adam Isa dan pengikutnya didapati menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar kerana mengandungi unsur yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah dan syariah.

Amalan dan aktiviti perubatan itu juga ujarnya, bercanggah dengan Garis Panduan Amalan Pengubatan Dan Perbomohan Menurut Islam yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Agama Islam Melaka [No. Warta : M.P.U 24; Tarikh Warta : 12 September 2024].

“Semasa serbuan itu, pemeriksaan dan penggeledahan telah dilaksanakan ke atas pusat rawatan, tempat jualan ubat, rumah kediaman dan termasuk di kawasan halaman rumah dan bangunan.

“Pemeriksaan juga mendapati pusat rawatan dan tempat jualan ditutup, selain tidak menemui Adam Isa dan isteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Rahmad, dalam serbuan itu juga, JAIM telah membuat tangkapan ke atas dua wanita berusia 38 dan 44 tahun bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan aktiviti perubatan yang dikaitkan dengan Adam Isa walaupun selepas fatwa diwartakan.

Jelas beliau, kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu Menghina Agama Islam Dengan mengingkari atau Melanggar Fatwa Yang Telah Diwartakan Di Negeri Melaka yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi 36 bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, ujarnya, beberapa barang kes telah disita dan dirampas, antaranya papan tanda di pintu gerbang, buku resit, ubat-ubatan, risalah berkaitan produk kesihatan dan lain-lain.

Pada masa sama, katanya, JAIM akan mendapatkan bantuan PDRM bagi mengesan pengamal perubatan itu dan isteri.

Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam di Melaka agar menjauhi amalan dan kaedah perubatan yang dijalankan Tabib Adam memandangkan ia telah difatwa dan diwartakan sesat serta menyeleweng dari ajaran Islam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1382
Kongsi :
Previous post KAUNSELOR UiTM MELAKA GIAT JALANKAN PROGRAM KESEDARAN KESIHATAN MENTAL
Next post GEMA QASIDAH, SELAWAT SINARI AYER MOLEK
Ubah saiz-+=