Sorting by

×

TABIB ADAM DIMINTA SERAH DIRI SECARA SUKARELA

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER MOLEK 26 Oktober – Individu yang dikenali sebagai Tabib Adam atau nama sebenarnya Adam Isa yang menghilangkan diri diminta menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal negeri Datuk Rahmad Mariman berkata individu itu bukan sahaja ‘menghilangkan’ diri malah sehingga kini gagal membuktikan dokumen perkahwinan dengan wanita yang didakwa isterinya.

Katanya, Tabib Adam diminta untuk tampil secara sukarela dan memberikan kerjasama kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk siasatan lanjut.

“Pihak berkuasa bagaimanapun kini sedang giat mengesan individu terbabit yang dipercayai masih berada dalam negara.

“Kita juga panggil Tabib Adam dan isteri kerana dia perlu menjawab mengenai status perkahwinan mereka.

“Dia (Tabib Adam) mengatakan sudah bernikah tetapi sehingga sekarang gagal tunjuk sebarang dokumen pernikahan dan perbuatan ini jatuh di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Karnival Sejahterakan Bandarayaku DUN Ayer Molek yang disempurnakan oleh
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata pihaknya menerima maklumat bahawa pengasas perubatan yang beroperasi di Kampung Lekuk Masjid Tanah itu mempunyai lebih daripada seorang isteri namun status terbabit masih menjadi tanda tanya.

Jelasnya, pusat perubatan yang telah difatwa haram oleh JAIM itu juga telah disita.

“JAIM dengan kerjasama pihak berkuasa negeri juga akan terus memantau supaya mereka akur dan tidak lagi meneruskan operasi,” katanya.

Kelmarin, Melaka Hari Ini melaporkan Tabib Adam ‘ghaib’ dipercayai melarikan diri selepas Kerajaan Negeri memfatwakan kaedah perubatan dilakukannya adalah haram.

Menurutnya, serbuan yang diketuai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada Khamis bermula jam 11.30 pagi itu mendapati pusat rawatan dan tempat jualannya telah ditutup, namun terdapat dua pekerja dipercayai masih menjalankan operasi pusat perubatan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

286
Kongsi :
Previous post MBMB KELUAR NOTIS, PERIKSA PREMIS BERUSIA LEBIH 10 TAHUN
Next post JUMLAH PELANCONG KE MELAKA MELONJAK KEPADA 11.25 JUTA
Ubah saiz-+=