Sorting by

×

Tabah jaga suami, anak OKU

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

GADEK 12 Nov. – Hampir 30 tahun diduga ujian menjaga tiga orang anak ‘istimewa’ ditambah pula keadaan suami yang lumpuh sejak beberapa tahun lalu mengajar P.Santhi, 52, untuk lebih tabah meneruskan kehidupan.

Santhi, yang menetap di Taman Sebang Gemilang berkata, perkara itu adalah ujian Tuhan yang perlu diterima dan ditempuhi kerana dia percaya akan ada hikmah dan ganjaran hebat disebalik dugaan itu.

Menurutnya, yang mempunyai tiga anak Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami masalah sama akibat mengalami demam panas ketika dilahirkan dan mengakibatkan perkara itu terkesan dengan tumbesaran anaknya.

S. Santhi

Jelasnya, tiga beradik yang bermula dari sulung sehinggalah anak ketiganya mengalami kecacatan sama bagaimanapun dia begitu bersyukur apabila anak bongsunya dilahir dan membesar dengan normal yang kini telah menjadi tulang belakang kepada keluarganya.

Sudahlah diuji keadaan itu, suaminya S. Subramaniam, 57, pula telah dua kali menghadapi penyakit lumpuh separuh badan membuatkan suaminya terpaksa berhenti dari bekerja sebagai pekerja ladang.

“Selama 26 tahun saya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bank di Tampin, Negeri Sembilan namun kini anak saya, S. Pavithra,20 menggantikan tempat saya bagi menyara keluarga setelah saya berhenti beberapa tahun yang lalu.

“Dia terpaksa mengabaikan hasrat melanjutkan pelajaran sebaik tamat persekolahan di Tingkatan Lima dan nekad untuk bekerja demi menyara keluarga sebagai pembantu di sebuah klinik di Tampin.

“Pada setiap pagi, Pavithra akan membantu memandikan abang dan kakaknya malah akan menyediakan masakan sebelum ke tempat kerja,”katanya.

PELBAGAI persiapan telah dilakukannya bagi menyambut perayaan Deepavali dengan penuh sederhana tahun ini.

Diduga ujian itu, sokongan rakan-rakan terdekat membuatkannya bersemangat dalam meniti kehidupannya sebagai seorang ibu dan isteri yang menjadi tunjang utama dalam keluarga.

Ujarnya, sokongan yang diterima itu bukan saja berbentuk moral malah ada yang sanggup menziarahinya dan menghulurkan bantuan demi mengurangkan bebanan nasib keluarga itu.

“Rakan-rakan banyak membantu saya tiap kali saya tertekan dan menasihati agar bersabar dan tidak terlalu berfikir kerana akan menjejaskan kesihatan saya, mereka adalah penguat semangat saya.

“Kadangkala setiap malam saya menangis seorang diri mengenangkan nasib yang menimpa, namun saya sedar dan bersyukur bahawa inilah ujian dan perlu dihadapi,”katanya.

Apabila ditanya berkaitan persiapan sambutan Deepavali yang bakal disambut tidak lama lagi, keluarga itu hanya menyambut dalam keadaan sederhana pada tahun ini sebagai norma baharu dalam mencegah penularan pandemik COVID-19.

Lazimnya, menjelang hari perayaan, Pavithra akan membantu menghias rumah dan menyediakan beberapa kuih tradisi untuk santapan keluarga tatkala dia sibuk menguruskan anak-anak istimewa serta suaminya.

“Sambutan perayaan Deepavali tahun ini kami sambut dengan penuh sederhana saja, tidak mengapalah jika tidak boleh keluar, kita duduk di rumah saja,

“Tidak mengapalah jika tahun ini tidak meriah, kita korbankan masa tahun ini kerana tahun-tahun akan datang pun boleh disambut lagi dengan lebih meriah asalkan semua masyarakat terhindar dari wabak ini,”katanya.

Jasa seorang ibu seperti Santhi perlu dicontohi oleh semua pihak yang tiada tolok bandingnya dengan pengorbanan yang dicurahkan demi keluarganya.

Terdahulu, pengorbanan itu telah membuatkan wanita itu menerima Anugerah Ibu Bapa Contoh (Bukan OKU) pada Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan sempena Hari Terbuka Kebajikan pada Tahun 2016.

Views:

634
Kongsi :
Previous post 165 premis disanitasi bomba dalam tempoh 43 hari
Next post Kanak-kanak sembilan tahun antara lapan positif COVID-19
Ubah saiz-+=