Sorting by

×

‘SYURGA’ BELI-BELAH BAHARU DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KLEBANG 25 Mac – Melaka mencetus dimensi baharu dalam sektor peruncitan apabila memperkenalkan kawasan tarikan untuk orang ramai membeli-belah pelbagai jenis barangan.

Menerusi pembukaan Tarcor Park, Jalan Persisiran Pantai, Pekan Klebang, di sini, ia telah menampilkan satu konsep baharu dengan pembukaan pelbagai jenis gedung membeli-belah berkonsep ‘stand alone’ seakan-akan di luar negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kawasan tersebut kini lengkap dengan segala kemudahan, termasuklah dengan pembukaan gedung pakaian, barangan harian, barangan keperluan rumah dan jenama restoran-restoran terkemuka.

Katanya, ia sekali gus menjadikan kawasan tersebut berpotensi menjadi kawasan tumpuan pelancongan baharu, selain menjadi katalis ekonomi Negeri Melaka yang terletak di kawasan Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ).

“Terima kasih kepada pemaju yang telah berusaha bersungguh-sungguh membawa masuk pelabur-pelabur dan membangunkan satu lembaran baharu dalam konsep membeli-belah di Melaka.

“Saya yakin, selepas ini kita akan dapat melihat lebih banyak produk berjenama besar akan membuka gedung mereka di sini, sekali gus menjadikan kawasan ini sebagai tumpuan pelancongan baharu di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Perasmian Tarcor Park dan pembukaan gedung pakaian baharu di kawasan berkenaan, hari ini.

6276196930841330387
KETUA Menteri menjadi antara yang terawal membeli belah di sebuah gedung pakaian baharu yang dibuka di Tarcor Park. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan sokongan dan dorongan dalam memajukan lagi kawasan berkenaan pada masa akan datang.

Katanya, ia bagi menjadikan kawasan itu sebagai sebuah pusat perniagaan dan perdagangan baharu untuk Negeri Melaka.

6276196930841330402
GEDUNG pakaian baharu di Tarcor Park. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1499
Kongsi :
Previous post SURI RUMAH, PESARA KERUGIAN LEBIH RM300,000
Next post JUALAN MANTAI AIDILFITRI MEGA DI DUYONG