Sorting by

×

Syukur sempat selamatkan barangan perniagaan

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER LIMAU 5 Nov. – Lantaran kerap dilanda banjir, peniaga Kampung Bangsal Atap, Lubok China bertindak pantas memindahkan pelbagai barangan perniagaan sebelum kedai dinaiki air, semalam.

Tahun ini sahaja sudah empat kali banjir melanda dan ia mengajar Rohaya Ibrahim, 57, supaya segera memindahkan pelbagai barang dalam kedai sebelum dihanyutkan arus deras.

“Alhamdulillah, sebelum air naik tinggi, saya dan anak sempat memindahkan barang dalam kedai ke tempat tinggi dan rumah ibu yang kosong.

“Hujan lebat mulai jam 12.30 malam kelmarin menyebabkan kedai dan rumah ibu saya dinaiki air pada jam 11 pagi semalam, tetapi kami tetap bersyukur kerana sempat menyelamatkan harta benda sebelum tenggelam,” katanya ketika ditemui semasa membersihkan kedainya di Kampung Bangsal Atap, Lubok China dekat sini hari ini.

Katanya, beliau dan anak perempuannya berusia 19 tahun yang membantu menjual pelbagai barangan seperti tudung saji dan buah-buahan di kedai berkenaan mula memindahkan barang pada jam 8 pagi semalam.

Jangkaan mereka ternyata tepat apabila mendapati air mulai naik pada jam 11.30 pagi semalam berikutan hujan lebat di hulu Sungai Timun.

Katanya, pengalaman dilanda banjir pada 2019, selain pada Januari, Mei dan Julai lalu mengajarnya supaya segera memindahkan barangan ke tempat tinggi atau rumah ibunya yang kosong kira-kira empat meter dari kedainya.

Rohaya berkata, tahun lalu beliau mengalami kerugian besar apabila kebanyakan barangan berkenaan gagal dipindahkan sebelum Sungai Timun berhampiran kedainya melimpah.

“Kali ini kami lebih berhati-hati bagi mengelakkan kerugian berulang lagi dan Alhamdulillah, kami sempat berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata, Sungai Timun yang hanya kira-kira lima meter dari kedainya dikatakan mengalami mendapan lumpur sejak beberapa tahun lalu yang menyebabkan ia tidak mampu menampung peningkatan jumlah air pada musim hujan.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil langkah mendalamkan sungai berkenaan bagi melancarkan aliran air, terutama ketika musim hujan seperti sekarang.

Katanya, limpahan sungai berkenaan bukan setakat menyebabkan kedai dan rumah ibunya dinaiki air, malah tiga rumah jiran yang tiada penghuni di sekitar kedainya.

Views:

836
Kongsi :
Previous post Kenderaan berat tambah kesengsaraan mangsa banjir
Next post Tiga lokasi baharu PKPD di Sabah, tiga lagi negeri dikenakan PKPB
Ubah saiz-+=