Sorting by

×

Syukur rumah dimakan anai-anai diganti baharu

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

Bukit Rambai 22 April – Warga emas Nyachik Baba, 74, meluahkan rasa syukur dapat menyambut 1 Syawal di kediaman baharu berbanding rumah lamanya yang reput dimamah anai-anai, manakala bumbung pula banyak yang sudah bocor.

Namun warga emas itu agak terkilan kerana tidak berkesempatan berkongsi kegembiraan berpindah ke kediaman baharu itu bersama suaminya yang meninggal dunia 11 tahun lalu.

“Bukan tidak pernah cuba memohon namun banyak kekangan yang dihadapi untuk mendapatkan sebuah baru atau bantuan membaiki rumah didiami lebih daripada 40 tahun ini.

“Hinggalah tahun lepas, salah seorang anak memohon daripada kerajaan negeri bagi mendapatkan rumah baharu di atas tanah pusaka milik saya.

“Rumah sebelum ini memang sudah usang sampaikan waktu malam kalau hujan saya terpaksa tadah air, pernah juga saya tidak tidur sampai ke pagi kerana hujan yang berlarutan,” katanya.

Dia menerima kunci rumah baharunya itu di Stulang Daeng, Bukit Rambai yang disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sempena projek CSR Melaka Rumahku oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM), semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong.

“Hati saya sangat bahagia apabila menerima rumah amat selesa, dilengkapi tiga bilik tidur dan satu bilik air selepas 11 tahun menanti.

“Pembinaan rumah dimulakan Feb lalu dan alhamdulillah sebelum 1 Syawal sudah siap sepenuhnya,” katanya.

Program Melaka Rumahku dibawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) LPM yang diperkenalkan sekali gus memberi nafas baharu buat keluarga kurang berkemampuan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1484
Kongsi :
Previous post Agong berbuka puasa bersama 1,600 umat Islam
Next post Bayi ‘pertama TAFF’ ambil kesempatan swafoto bersama Agong
Ubah saiz-+=