Sorting by

×

SYUKUR, DAPAT LESEN DI USIA 55 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 20 Oktober – Berkali-kali gagal dalam ujian komputer menjadi antara sebab Osman Baba, 55, tidak pernah memiliki lesen memandu.

Disebabkan itu, pengawal keselamatan itu hanya mampu pasrah dan reda jika terpaksa menempuh sekatan jalan raya selama 37 tahun.

Namun, kini, riak wajah bapa kepada tiga anak itu kembali ceria apabila akhirnya dapat memiliki lesen motosikal yang sah menerusi program MyLesen Motosikal Kelas B2 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka.

Osman yang berasal dari Kampung Rumbia, Alor Gajah mengakui inisiatif yang diberikan kerajaan menerusi program tersebut benar-benar membantunya untuk berasa lebih selamat di atas jalan raya.

“Saya mengaku sejak berumur 18 tahun, saya tidak pernah mempunyai lesen kerana saya sering gagal ujian komputer. Jika menunggang motosikal saya terpaksa menempuh sekatan dan berterus-terang kepada anggota polis atau JPJ bahawa saya tidak mempunyai lesen.

“Tapi siapa sangka nasib saya berubah menerusi program MyLesen di mana saya dibantu oleh pihak Japerun untuk mengisi borang dan mengikuti kelas yang disediakan pihak JPJ.

“Alhamdulillah, berkat bantuan semua, di usia 55 tahun, saya akhirnya memiliki lesen memandu yang sah dan saya sangat bersyukur,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Sempena Program Bantuan MyLesen Motosikal Kelas B2 JPJ Melaka, di Muzium Kota, di sini, semalam.

Untuk rekod, program MyLesen yang diumumkan pada Belanjawan 2024 yang lalu telah memberi manfaat kepada 2,500 rakyat Melaka dalam kategori B40.

Program itu menawarkan lesen motosikal B2 secara percuma membabitkan peruntukan berjumlah hampir RM875,000 untuk rakyat negeri ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan program MyLesen akan diteruskan dan bakal memberi manfaat kepada 15,000 belia di seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

105
Kongsi :
Previous post MELAKA CITRA FLORIA HAIR SHOW GAMIT LEBIH 12,000 PENGUNJUNG
Next post ARCA ‘WTD 2025’ HIASI LOKASI IKONIK MELAKA
Ubah saiz-+=