Sorting by

×

Syiar Islam subur di Ayer Limau

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER LIMAU 14 Oktober – Penghayatan nilai-nilai Islam khususnya kita suci al-Quran dalam kalangan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau dilihat semakin meningkat dan membanggakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, ia terbukti menerusi sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 1,000 orang bagi penganjuran kali kedua Program Penghayatan Kalam Ilahi Peringkat DUN Ayer Limau Tahun 2023.

Katanya, program itu berlangsung penuh meriah dengan pelbagai pertandingan dianjurkan seperti tilawah dan hafazan al-Quran, tulisan khat, azan serta iqamah yang membabitkan lebih 200 orang peserta.

“Objektif program ini adalah untuk menyemarakkan usaha dalam mencintai kalam yang agung di peringkat Alor Gajah, agar penghayatan terhadap al-Quran akan dihayati dengan baik, seterusnya syiar Islam terus berkembang.

“Melalui pertandingan dianjurkan pula kita meningkatkan kemahiran bacaan al-Quran. Hasilnya ilmu al-Quran tersebar luar dan dicintai oleh pembacanya.

“Pengkhususan kepada golongan muda tentang penghayatan dan peradaban Islam melalui ceramah Maulidur Rasul dan persembahan qasidah mampu menerbitkan rasa suka serta cinta terhadap majlis-majlis ilmu,” katanya ketika ditemui pada program itu di Masjid Ibnu Sina Kampung Sungai Jernih, di sini, hari ini.

Lafaz perasmian program ilmu itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim dan Pengerusi Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) Tan Sri Idrus Harun.

Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri berkata, program itu dijayakan dengan kerjasama Japerun Ayer Limau, Jabatan Agama Islam JAIM, AmanahRaya serta Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada AmanahRaya atas sumbangan sebanyak RM50,000 yang diagihkan kepada golongan asnaf dalam daerah Alor Gajah.

“Pelbagai program diatur sejak pagi termasuk Jualan Agro Madani yang turut menawarkan beras tempatan selain pengagihan  dekoder  MYTV. Sementara itu malam ini pula kita ada ceramah disampaikan Datuk Ustaz kasim Elias,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1407
Kongsi :
Previous post Belanjawan 2024 dinamik, bimbing pembangunan Malaysia gemilang – KM
Next post PEDi rangka program lahir usahawan digital
Ubah saiz-+=