Syawal umpama tidak bermakna
AYER LIMAU 3 April – “Saya rasa Syawal kali ini umpama tiada makna baginya tapi saya tetap kuatkan semangat sebab anak-anaklah kini jadi penguat kehidupan saya,” kata Zainab Mansor,57 yang kini masih terkejut dengan pemergian arwah suami hampir enam bulan lalu.
Katanya, empat orang anaknya kini menjadi penguat semangatnya untuk meneruskan kehidupan dan berusaha keras untuk menghantar dua lagi anaknya ke sekolah.
“Anak yang pertama dan kedua kini sudah bekerja dan merekalah yang jadi tulang belakang keluarga.
“Kini ada dua lagi adiknya bersekolah di tingkatan tiga dan darjah lima.
“Rasa janggal apabila Syawal kali ini ditakdirkan tanpa suami tercinta, saya amat sedih dengan pemergian itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Zainab hari ini merupakan antara 30 keluarga yang menerima bantuan sumbangan pakaian raya bagi anak yatim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau anjuran Telekom Malaysia Berhad (TM) Cawangan Melaka dengan kerjasama Japerun Ayer Limau.
Katanya, suasana hari ini amat menjanggalkan baginya berikutan itulah kali pertama anaknya menerima bantuan anak yatim selepas kehilangan ayahnya.
“Ini kali pertama kami menerima bantuan tapi apa pun syaa bersyukur sangat sebab ada yang memandang kesukaran kami sekeluarga dan sekurangnya dapat meringankan beban kami untuk menyambut Aidilfitri akan datang,” katanya.
Bagi Zainab pemergian suami secara mengejut setelah ditidurkan doktor akibat gejala batuk selama dua bulan membuatkannya reda dengan ketentuan itu.
“Arwah pergi memang mengejut sebab dia tak pernah sakit pun hanya tiba-tiba batuk selama dua bulan.
“Pada hari pemergiannya ketika di kereta sebelum dimasukkan ke wad kecemasan adalah saat terakhir kami bersua sebelum diarahkan doktor untuk ditidurkan.
“Setelah ditidurkan dia pergi selama-lamanya meninggalkan kami sekeluarga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.