Syawal pertama tanpa suami di sisi
LENDU 22 Mac – Pertama kali menyambut Ramadan dan Aidilfitri tanpa kelibat suami di sisi adalah tempoh paling sukar bagi Zaiton Idris, 48.
Mana tidaknya, pemergian arwah suaminya Ab Aziz Ismail yang bertugas sebagai anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah pada November tahun lalu disifatkan terlalu mengejut dan sukar diterima.
Namun mengenangkan nasib enam anak hasil perkongsian hidup mereka membuatkannya perlu kuat dan reda dengan ketentuan ilahi.
“Memang pemergian itu mengejutkan kerana arwah tidak pernah ada penyakit sebelum ini, namun November tahun lalu menjadi detik hitam buat kami sekeluarga apabila suami disahkan kritikal akibat terkena serangan jantung sebelum pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.
“Memang sedih kerana ini adalah tahun pertama kami bakal beraya tanpa seorang ketua keluarga, namun kami perlu tabah dalam meneruskan kehidupan,” katanya sebak kepada pemberita.
Zaiton merupakan antara 16 ahli keluarga waris yang menerima sumbangan disampaikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ir. Ts Ahmad Izram Osman dalam lawatan kerjanya ke negeri ini, semalam.
Ujar Zaiton, bantuan itu begitu bermakna baginya dan anak-anak dan apabila masih dihargai jabatan yang pernah menjadi tempat arwah suaminya mencurahkan bakti.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Napuzah Misbah, 54 meluahkan rasa syukur dan berterima kasih di atas kebajikan yang disalurkan JBPM meskipun arwah suaminya telah meninggal dunia enam tahun lalu.
“Arwah meninggal dunia semasa bertugas pada tahun 2018 dan saya tidak menyangka meskipun dia sudah lama meninggalkan kami JBPM tetap mengingati jasanya dan memandang keluarga kami.
“Alhamdulillah masih ada rezeki kerana dengan bantuan ini dapatlah kami sekeluarga melakukan persiapan sempena lebaran nanti, malah ia cukup membantu untuk membesarkan anak saya terutama ada yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang memerlukan perbelanjaan tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.