Syarikat telekomunikasi dikompaun RM6.7 juta berkaitan pendaftaran palsu kad prabayar
AYER KEROH 8 April. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 136 kompaun berjumlah RM6.7 juta kepada syarikat telekomunikasi kerana melakukan pendaftaran palsu kad sim prabayar sejak 2019 hingga Mac tahun ini.
Ketua Bahagian Penguat kuasa dan Siasatan SKMM Datuk Mohd Shafie Harun berkata, tindakan yang diambil itu membuktikan pihaknya serius terhadap pendaftaran kad sim prabayar palsu meskipun berdepan kesukaran untuk mengenal pasti individu yang melakukan kegiatan jenayah siber itu.
Katanya, pada masa sama SKMM komited memastikan kepentingan pengguna terpelihara selain memastikan proses pendaftaran kad sim prabayar mematuhi garis panduan ditetapkan.
“Sejak kebelakangan ini, kita mendapati penggunaan kad prabayar dalam kegiatan penipuan atas talian semakin tinggi.
“Meskipun kesalahan itu dilakukan oleh pihak agen atau penjual kad sim prabayar namun kita mengeluarkan kompuan berjumlah RM6.7 juta itu terhadap syarikat telekomunikasi berkaitan.
“Apabila kita menerima laporan khususnya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita menjalankan siasatan terhadap syarikat telekomunikasi berkaitan mengikut Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Pencegahan Jenayah dan Lindungi Diri Dari Menjadi Mangsa Jenayah Penipuan di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.
Terdahulu, majlis penutup program itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah.
Sementara itu Mohd Shafie berkata, dalam tempoh sepanjang tahun lalu hingga Mac tahun ini, pihaknya menyekat akses terhadap 27 laman sesawang yang menjalankan kegiatan jenayah atas talian.
“Sebanyak 27 laman web atau sesawang membabitkan penipuan atas talian telah disekat di atas permohonan daripada PDRM di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
“Dalam tempoh sama, kita telah menerima 2,616 aduan mengenai penipuan atas talian yang kebanyakannya membabitkan urusan jual beli atas talian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.