Syarikat telco diminta tambah baik capaian jalur lebar pada Aidilfitri
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata hal itu perlu dilakukan dengan mengambil langkah dalam jangka pendek supaya pengguna tidak mengalami sebarang gangguan atau masalah untuk mengakses internet.
“Kita telah minta semua syarikat telco untuk meningkatkan perkhidmatannya dengan mengambil langkah-langkah yang boleh dibuat dalam jangka pendek seperti menambaik baik peralatan di pemancar telekomunikasi sedia ada.
“Walaupun ada keterbatasannya kerana mempunyai spektrum terhad dan sebagainya tetapi kita minta setiap telco cuba perbaiki perkhidmatannya dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Zakat Asnaf kepada penduduk bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor dan Kadok di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata lebih 80,000 permohonan peranti bagi program PerantiSiswa Keluarga Malaysia diterima sejak dibuka pada 15 April lepas.
“Kita sedang proses dan akan membuat penelitian jumlah permohonan sehingga 15 Mei depan kerana kita tidak dapat jangka berapa ramai yang akan mohon,” katanya.
Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia akan mula diagihkan Jun ini dijamin berkualiti tinggi daripada jenama terkenal dan bakal memanfaatkan kira-kira 350,000 mahasiswa daripada keluarga B40 yang mengikuti pengajian seperti diploma dan Ijazah Sarjana Muda.
Permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://perantisiswa.kkmm.gov.my. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.