Syarikat penerbangan tambang rendah Singapura bakal bertapak di Melaka

Masa Membaca:51 Saat

AYER KEROH 23 Julai – Melaka bakal membuka laluan udara ke Singapura selepas syarikat penerbangan tambang rendah Singapore Airlines, Scoot dijangka memulakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam Oktober nanti.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, bagaimanapun syarikat terbabit sedang menunggu kelulusan daripada Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB).

Katanya, syarikat penerbangan itu dijangka akan menggendalikan laluan Melaka-Lapangan Terbang Changi, Singapura dengan kekerapan lima kali seminggu.

“Sudah pasti dengan bertapaknya sebuah syarikat penerbangan antarabangsa di negeri ini, secara tidak langsung dapat merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Perincian lanjut mengenai perkara ini akan dimaklumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atau Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media MATTA (Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia) Fair Melaka di Kota Cemerlang di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MATTA Melaka, Goh Hock Gin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

12145
Kongsi :
Previous post ‘Saya rasa bersalah terhadap isteri, anak-anak’
Next post Berhati-hati individu mengaku wartawan MHI
Ubah saiz-+=