Syarikat pemaju mahu selesai kes saman Melaka Gateway di luar mahkamah
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, yang mewakili Kerajaan Negeri Melaka ketika dihubungi pemberita berkata, perkara itu dimaklumkan pada prosiding di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf hari ini.
Turut bersidang Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Mary Lim Thiam Suan. Hari ini ditetapkan bagi mendengar permohonan syarikat itu bagi mendapatkan kebenaran merayu.
Ahmad Hanir berkata peguam KAJ, Datuk Loh Siew Cheang telah memohon agar prosiding hari ini ditangguh dan memaklumkan panel itu bahawa anak guamnya ingin menyelesaikan kes terbabit di luar mahkamah.
Katanya beliau tidak membantah permohonan itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Mei untuk mendengar permohonan itu.
KAJ Development mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 9 April 2021 yang menolak permohonannya untuk memperoleh kebenaran memulakan semakan kehakiman.
Pada 17 Feb 2021, Mahkamah Tinggi Melaka menolak permohonan KAJ Development untuk mendapatkan kebenaran itu selepas mendapati keputusan kerajaan negeri tidak membabitkan elemen undang-undang awam.
Pada 4 Dis 2020, KAJ Development memfailkan permohonan itu selepas perjanjian projek penambakan laut dengan Kerajaan Negeri Melaka ditamatkan.
Syarikat itu memeterai perjanjian dengan Kerajaan Negeri Melaka pada 4 Okt 2017 untuk projek penambakan tersebut.
KAJ Development memohon perintah mahkamah mengetepikan arahan kerajaan negeri yang mengeluarkan notis penamatan bertarikh 11 Nov 2020.
Syarikat itu juga memohon perisytiharan bahawa notis penamatan itu adalah terbatal dan tidak sah kerana melanggar Seksyen 7 dan 9(1) Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19 2020.
Melaka Gateway adalah projek pembangunan bercampur bernilai RM43 bilion yang terdiri daripada tiga pulau baharu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.