Sorting by

×

Syarikat minyak sumbang 700 kit makanan bantu rakyat Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 13 Julai – Sebuah syarikat penapisan dan pengedaran minyak di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Green Aim Sdn Bhd menghulurkan bantuan 700 pek makanan buat rayat Melaka yang mengalami kesempitan hidup.

Bantuan disampaikan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di kediaman rasminya di Seri Bendahara, di sini.

Pengarah Penjualan dan Pemasaran Green Aim Sdn Bhd, Edison Chan berkata, syarikatnya mengeluarkan perbelanjaan sendiri berjumlah RM35,000 untuk merealisasikan inisiatif membantu rakyat yang terkesan sejak negara dilanda pandemik COVID-19.

“Pengagihan sumbangan ini diilhamkan Pengarah Urusan syarikat, Teh Kok Kiang yang berhasrat meringankan beban ditanggung segelintir rakyat Melaka yang dalam kesusahan.

“Kita sedar ramai dalam kalangan rakyat yang mengalami kesengsaraan apabila COVID-19 melanda dan disebabkan kes harian yang semakin tinggi, kami tidak dapat turun ke setiap rumah untuk menghulurkan sumbangan.

“Jadi sumbangan ini kita sampaikan terus kepada kerajaan negeri yang akan bertindak mengedarkan kit makanan ini melalui agensinya terus kepada golongan sasar iaitu mereka yang betul-betul memerlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Edison berkata, sumbangan itu bukan pertama kali disalurkan, bahkan sebelum ini mereka turut mengedarkan 50 tablet bagi membantu pelajar B40 di negeri ini pada Februari lalu.

Sementara itu, Sulaiman dalam catatan di laman Facebook rasminya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Green Aim Sdn Bhd yang sudi menghulurkan sumbangan membantu rakyat di negeri ini.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka, saya mengucapkan ribuan terima kasih dan mengalu-alukan sumbangan daripada wakil agensi serta syarikat untuk terus menyumbang dalam usaha membantu rakyat Melaka yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

702
Kongsi :
Previous post 2 juta dos vaksin akan diagih di Lembah Klang, Negeri Sembilan- Muhyiddin
Next post Aktiviti ziarah cetus kluster COVID-19 di Kuala Sungai Baru
Ubah saiz-+=