Sorting by

×

Syarikat langgar SOP antara 22 dikenakan kompaun

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

MELAKA 4 April. – Sebanyak 22 kompaun berjumlah RM71,000 dikeluarkan kepada individu dan syarikat atau industri, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan COVID-19 dalam tempoh 11 Mac hingga 2 April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada jumlah itu satu industri atau syarikat dikenakan kompaun sebanyak RM50,000, manakala 21 individu dikenakan kompaun RM10,000 setiap seorang mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) (Pindaan) 2021.

“Satu industri yang dikenakan kompaun itu dikesan gagal mematuhi SOP yang ditetapkan, sehingga menyebabkan penularan dalam kalangan pekerjanya.

“Bagi kesalahan individu pula, tidak mengimbas QR Code atau MySejahtera atau tidak membuat pendaftaran secara manual untuk memasuki premis (10 orang), gagal menjaga penjarakan fizikal (lapan orang) dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam (tiga orang),” kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Aplikasi e-Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Bukit Katil di sini, hari ini.

Aplikasi e-Japerun Bukit Katil dilancarkan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Pengerusi Penyelaras Japerun Bukit Katil Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Mengulas mengenai Kluster Jalan Kenanga, beliau berkata sebanyak 176 individu yang dikesan mempunyai kaitan dengan kluster tersebut, yang dilaporkan di Alor Gajah di sini telah menjalani saringan COVID-19.

Mereka yang disaring jelasnya terdiri daripada 31 individu merupakan kontak rapat keluarga, kontak rapat sosial (25 orang) dan kontak di tempat kerja (119 orang) susulan jangkitan yang dikesan melibatkan kes indeks kluster itu, menerusi saringan bergejala seorang suri rumah berusia 57 tahun di Hospital Pantai di sini.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 11 daripada mereka dikesan positif COVID-19, 21 orang negatif manakala 144 orang masih menunggu keputusan saringan yang dilakukan.

“Kita agak risau dengan perkembangan kluster ini, kerana kluster ini telah merebak ke generasi kedua dan sebanyak 144 individu yang telah disaring, masih menunggu keputusan mereka yang dijangka keluar hari ini atau esok.

“Kluster ini melibatkan semua warga tempatan dan jangkitan dalam kluster ini dikenal pasti berpunca daripada komuniti, dan merebak melalui pergaulan semasa menghadiri majlis tahlil atau doa selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ridhwan berkata aplikasi e-Japerun Bukit Katil yang dilancarkan, bertujuan memudahkan penduduk di Dewan Undangan Negeri Bukit Katil menyalurkan aduan di kawasan tempat tinggal mereka, sekali gus memudah dan mempercepatkan tindakan oleh pemimpin masyarakat seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan jawatankuasa Japerun Bukit Katil.

Beliau berkata inisiatif itu juga bagi meningkatkan kemahiran pengurusan menerusi medium digital dalam kalangan JPKK, dan jawatankuasa japerun berkenaan selain ke arah pengurusan tanpa kertas dan mengelak aduan terlepas pandang.

“Pengadu atau masyarakat setempat hanya perlu mengisi maklumat berkaitan aduan dan gambar sebagai panduan atau bukti, dan aplikasi itu akan sentiasa dipantau agar tindakan segera dapat diambil. Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun di Google Play atau App Store,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

321
Kongsi :
Previous post Penolakan UMNO, hala tuju PRU15 PN Melaka kekal fokus
Next post Undi 18 beri kelebihan kepada PN dalam PRU15 – Mohd Rafiq
Ubah saiz-+=