Sorting by

×

SYARIKAT KENDALI TAPAK PELUPUSAN SAMPAH BAKAL DIKENAKAN TINDAKAN

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDA HILIR 11 November – Syarikat mengendalikan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang, bakal dikenakan tindakan tegas kerana didapati cuai hingga menyebabkan pencemaran sungai berhampiran.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata tindakan itu susulan syarikat berkenaan telah melakukan kesalahan sama berulang kali.

Katanya, sebelum ini beberapa notis dan kompaun telah dikeluarkan terhadap syarikat yang dilantik sebagai operator, namun masih mengabaikan tanggungjawab sepatutnya.

“Semalam (Ahad) saya bersama agensi terlibat iaitu Badan Kawal Selia Air (BKSA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri membuat lawatan mengejut ke tapak pelupusan sampah tersebut.

“Hasil lawatan memang benar air sungai berhampiran menjadi hitam, apabila hujan ia menyebabkan limpahan daripada tempat tersebut. Saya yakin semua agensi terlibat semalam menjadi saksi, isu ini akan dibawa kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Seminar Pengukuhan dan Peningkatan Hasil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Siri 2.0 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama Penasihat Persatuan Perancang Bandar PBT Malaysia (PETA), TPr. Sharipah Marhani Syed Ali; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan wakil PBT seluruh Malaysia.

Whatsapp Image 2024 11 11 At 2.33.03 Pm
KEADAAN di tapak pelupusan sampah berkenaan yang tercemar. (Foto FB Rais)

Tegasnya, jika masalah itu dibiarkan berlanjutan ia dikhuatiri akan menjejaskan penduduk dan petani di sekitar.

“Jika tidak dibendung pencemaran ini boleh merebak hingga ke Sungai Lereh dan menjejaskan ramai lagi penduduk di kawasan itu. Kerajaan Negeri mahu selesaikan segera, sebelum ini kompaun sudah dikeluarkan, operator ini sudah beroperasi tahun demi tahun.

“Tindakan untuk tamatkan khidmat syarikat ini bukan dalam bidang kuasa kita, sebab itu kita bawa kepada KPKT untuk tindakan sewajarnya,” katanya.

Terdahulu Rais mengadakan lawatan mengejut di kawasan itu semalam selepas menerima laporan terdapat air larut resap daripada tapak pelupusan sampah yang memenuhi kolam tadahan air sisa sementara dan melimpah ke jalan raya.

Dalam lawatan itu beliau turut meminta BKSA dan JAS Melaka mengeluarkan notis kesalahan kepada syarikat terlibat supaya tindakan pembaikan dapat dilakukan segera tanpa lengah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

142
Kongsi :
Previous post CURI KABEL: 3 LELAKI DICEKUP, SEORANG MASIH DIBURU
Next post POLIS TAHAN PENJAJA MILIKI DUA PUCUK PISTOL
Ubah saiz-+=