Syarikat Jerman melabur RM14.7 bilion di Melaka – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BUKIT RAMBAI 20 Julai – Melaka terus menjadi tumpuan utama syarikat pelabur dari Eropah khususnya Jerman untuk membuat pelaburan jangka panjang di negeri ini.

EXCO Kanan Perindustrian, Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, nilai pelaburan syarikat dari Jerman di Melaka secara keseluruhan bernilai hampir RM 14.7 bilion setakat ini.

Katanya, nilai itu merangkumi lapan syarikat yang berpengkalan di Jerman antaranya Infineon Technologies, Leuze Electronic Malaysia Sdn Bhd, Vishay Semiconductor Malaysia Sdn Bhd dan Prym Consumer Malaysia Sdn Bhd.

Setakat ini, lapan kilang dari Jerman itu telah menggaji seramai 12,434 pekerja dan 2,554 jurutera.

“Secara keseluruhan pelaburan Jerman di Melaka bernilai RM 14.7 bilion. Melaka menjadi pilihan pelabur Jerman kerana negeri ini menyediakan pelbagai prasarana sesuai untuk pekerja teknikal dalam industri selain mempunyai suasana bekerja yang sama dengan di Jerman.

“Kedudukan Melaka yang strategik berhampiran dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor, Lapangan Terbang Antarabangsa Malaysia (KLIA) dan Pelabuhan Klang antara punca utama Melaka menjadi pilihan pelabur luar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Kilang Leuze Electronic Malaysia Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai hari ini.

AB Rauf bersama Sulaiman melihat peralatan yang digunakan Kilang Leuze Electronic Malaysia Sdn Bhd di Bukit Rambai. Foto Iqmal Haqim Rosman

Kilang tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah EXCO Perpaduan Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Ngwe Hee Sem dan Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kilang yang baharu dirasmikan Leuze Electronic Malaysia Sdn Bhd itu hanya membuka 100 peluang pekerjaan kerana menggunakan teknologi robotik.

“Sebanyak 60 peratus penjanaan pengeluaran produk kilang ini menggunakan teknologi robotik manakala hanya 40 peratus sahaja penggunaan tenaga mahir.

“Kilang ini juga akan membuka sehingga 100 peluang pekerjaan untuk warga tempatan pada fasa kedua nanti di mana hnaya kira-kira kurang 10 peratus daripada pekerja di sini adalah warga asing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1948
Kongsi :
Previous post Pertandingan memancing, video TikTok jadi tarikan Hari Belia daerah Alor Gajah
Next post Zalina dipercayai masih berada dalam negara – Polis
Ubah saiz-+=