Syarikat Hong Kong minat bina taman tema tentera di Melaka
BANDAR MELAKA 22 Disember – Sebuah syarikat dari Hong Kong berminat untuk melabur dalam bidang pelancongan dengan cadangan membina sebuah taman tema berkonsepkan ketenteraan di Melaka.
Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, wakil syarikat itu pada pertemuan semalam memohon Kerajaan Negeri mempertimbangkan cadangan untuk membina taman tema itu di Klebang.
Bagaimanapun ujarnya, belum ada sebarang keputusan lanjut dibuat setakat ini berikutan kertas cadangan yang diterima itu perlu dinilai dan dipanjangkan kepada pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi membuat penilaian lanjut bersama beberapa agensi terlibat.
“Ini adalah cadangan baharu dan bukannya satu perkara yang telah disahkan….kita tidak ada buat apa-apa keputusan lagi.
“Tetapi ini saya kira sebagai satu nilai tambah kepada industri pelancongan Melaka kerana jika ia beroperasi di negeri ini ia merupakan satu tarikan baharu yang ada di nusantara ini.
“Lokasinya akan dimajukan di atas tanah milik Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dengan nilai pelaburan sebanyak RM200 juta akan dimajukan di Klebang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Ramah Mesra dan High Tea bersama Penggiat Industri Korporat, Perhotelan dan Media Negeri Melaka diadakan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Ekskutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM), Tpr. Datuk Murad Husin serta tetamu lain.
Mengulas lanjut, Ab. Rauf berkata, mengikut perancangan, taman tema itu dilengkapi dengan pelbagai aktiviti untuk dewasa dan kanak-kanak, selain turut menempatkan sebuah muzium ketenteraan dan pertunjukan kenderaan-kenderaan ketenteraan lama sebagai daya penarik.
“Saya mengharapkan ia menjadi kenyataan kerana ini satu benda baru yang ada di negeri ini.
“Saya harap pelabur ini benar-benar bersungguh untuk datang ke Melaka untuk memajukan industri pelancongan negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.