Syabas dan tahniah Abang Ishak – KM

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TABOH NANING 16 September – Kesungguhan Ishak Mohamad, 60, dan Md Nasir Ahmad, 63, menyebarkan mesej mengenai kemerdekaan negara menerusi Progam Kayuhan Merdeka, mendapat perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Sulaiman, meluahkan rasa bangga atas usaha dan kesungguhan anak kelahiran Kampung Kemus, Taboh Naning itu yang setakat ini sudah berkayuh sejauh 1,526 kilometer.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Abang Sahak dan rakan-rakan,” katanya ketika menyambut ketibaan Ishak pada Majlis Perasmian Dewan Terbuka Taman Sri Naning Bersempena Hari Malaysia, di sini, semalam.

Sementara itu Ishak berkata, akibat masalah keluarga dia tidak dapat menghabiskan kayuhan itu pada 16 September seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Katanya, dia terpaksa menangguhkan kayuhan selepas sampai di Merang, Terengganu dengan Md Nasir meneruskan perjalanan ke kampungnya di Batu Pahat Johor.

“Saya akan sambung semula kayuhan esok (hari ini) atau lusa (esok), sebenarnya di setiap persinggahan kami sudah atur program berunsurkan patriotik, jadi saya tidak mahu hampakan perasaan mereka yang sudah melakukan persiapan untuk menyambut kami.

“Jadi bagi fasa kedua ini saya akan ke selatan, melalui beberapa daerah di Johor seterusnya menamatkan kayuhan di Merang, iaitu tempat saya berhenti.

“Jangkaan saya akan berkayuh selama 10 hari lagi atau sejauh 1,200 kilometer, tujuan kayuhan ini juga adalah untuk mengenang jasa pejuang terdahulu dalam memerdekakan negara. Kata orang-orang tua kalau tidak boleh balas budi paling tidak kita tahu mengenang jasa mereka,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu Ishak dan Md Nasir memulakan perjalanan pada 14 Ogos lalu dengan kayuhan ke negeri di utara, memasuki Selatan Thailand hingga ke Songkhla, kembali ke Malaysia melalui Rantau Panjang, Kelantan untuk menamatkan kayuhan di Taboh Naning dengan anggaran jarak 2,500 kilometer.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3550
Kongsi :
Previous post 300 ‘bikers’ semarakkan Hari Malaysia 2022
Next post Usia tak halang Juma aktif bidang permotoran
Ubah saiz-+=