Sorting by

×

‘Syabas anak muda!’

Masa Membaca:57 Saat

KUALA LUMPUR 14 Jun – “Tahniah Damok!”, ucapan itu pastinya menggembirakan dan membanggakan buat pelumba muda negara, Syarifuddin Azman kerana ia dizahirkan oleh pemimpin nombor satu negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri menerusi laman Facebook rasmi beliau berkata, kejayaan Syarifuddin, 19, atau lebih dikenali sebagai Damok menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Barcelona, Sepanyol semalam cukup membanggakan.

“Syabas Anak Muda. Tahniah Malaysia. Saya cukup berbangga dan gembira apabila dimaklumkan anak muda Malaysia, Syarifuddin berjaya menggegar Litar Catalunya apabila muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia semalam,” katanya.

Muhyiddin berkata hanya melalui keazaman, ketekunan, kesungguhan dan keberanian sahaja yang mampu meletakkan seorang pelumba untuk bergelar juara.

Selain mengucapkan tahniah kepada Syarifuddin, Perdana Menteri turut merakamkan ucapan sama kepada seluruh ahli pasukan atas aksi dan kejayaan itu yang membanggakan negara.

“Teruskan usaha untuk kejayaan yang lebih gemilang selepas ini,” katanya sambil menyertakan tanda pagar #MalaysiaPastiBoleh.

Syarifuddin, yang bermula di petak ke-10 menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat meninggalkan dua peserta tuan rumah David Munoz Rodriguez dan Jose Antonio Rueda Ruiz masing-masing di tempat kedua serta ketiga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

631
Kongsi :
Previous post Pemuda pecut kereta di SJR, rupanya panik lesen memandu tamat tempoh
Next post Surat kebenaran beroperasi agensi di bawah KeTSA sah hingga 28 Jun
Ubah saiz-+=