SWM Environment sasar 100 rumah ibadat berdaftar KITARecycle
BATU BERENDAM 27 Okt – SWM Environment menyasarkan sebanyak 100 rumah ibadat akan didaftarkan di bawah program KITARecycle menjelang Disember 2022.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, menerusi program terbabit setakat ini, sebanyak enam rumah ibadat sekitar Melaka telah berdaftar.
Katanya, pemilihan rumah-rumah ibadat sebagai pusat sehenti program itu berkonsepkan ‘kitar semula sambil beramal’ kepada penduduk sekitar dengan menawarkan mata ganjaran atau wang tunai.
“Menerusi KITARecycle ini membolehkan orang ramai melakukan ‘kitar semula sambil beramal’ dengan menyumbang bahan-bahan kitar semula kepada rumah ibadat terlibat.
“Antara rumah ibadat yang telah berdaftar setakat ini adalah Masjid Cina di Krubong, Masjid As-Salam di Kesang Tua, Masjid Al Falah Krubong, Surau Al-Ayubi di Serkam, Gereja Persatuan Persaudaraan Kristian Melaka, dan Kuil Sri Suntharamoorthy Vinayagar.
“Pihak SWM Environment turut menyasarkan 100 rumah ibadat akan berdaftar di bawah program ini menjelang tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program SWM Kasih Cahaya Deepavali di Kuil Sri Suntharamoorthy Vinayagar, di sini hari ini.
Dalam program terbabit seramai 30 penerima kurang bernasib baik menerima sumbangan berupa makanan asas sempena sambutan Deepavali.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil daripada sumbangan program KITARecycle, wang itu boleh digunakan oleh rumah ibadat itu sendiri bagi tujuan aktiviti dan keceriaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.