Sorting by

×

SWM KONGSI KEGEMBIRAAN RAMADAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

Oleh: Azwani Mohammad

AYER KEROH 17 Mac – SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) berkongsi kegembiraan dan keceriaan bersama golongan sasar menerusi program SWM Kasih Santun Ramadan, baru-baru ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata program itu diadakan bagi menyantuni warga kerja SWM yang mempunyai anak yatim, anak Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka yang kurang berkemampuan.

“Program ini sebagai tanda penghargaan kepada keluarga yang menjadi tulang belakang kepada operasi syarikat di Melaka.

“Kami berbesar hati untuk menyantuni mereka dengan sumbangan persiapan Hari Raya Aidilfitri agar mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria.

“Inisiatif ini juga bukan sahaja membawa kegembiraan kepada mereka, tetapi juga sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada keluarga pekerja SWM Environment,” katanya.

Menurutnya, program yang diadakan di sebuah pusat beli-belah di Ayer Keroh itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga pekerja dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri.

“Selain membantu golongan yang memerlukan, SWM Environment turut menekankan kepentingan pengurusan sisa yang bertanggungjawab, terutama menjelang musim perayaan yang sering menyaksikan peningkatan jumlah sisa domestik,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menguruskan sisa domestik dengan baik sebelum membuangnya ke dalam tong beroda atau tong sampah berpusat yang berhampiran.

“Orang ramai diingatkan agar mengambil maklum tentang jadual kutipan sisa domestik dan sisa +1 (sisa pukal, sisa kebun dan sisa kitar semula) di kawasan masing-masing.

“Mereka digalakkan untuk mengasingkan sisa yang boleh dikitar semula, seperti plastik, kertas, botol kaca dan lain-lain.

“Selain itu, mereka juga boleh mendaftar sebagai ahli program KITARecycle bagi mengumpul mata ganjaran dari aktiviti kitar semula yang boleh ditebus kepada wang tunai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post RM8 JUTA BAIK PULIH 13 KLINIK KESIHATAN DAIF DI MELAKA
Next post ANAK YATIM JENTIK HATI KENG CHIA PELUK ISLAM