SWM Environment belanja pengamal media tengok wayang
BANDA HILIR 5 Ogos – SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menyantuni pengamal media Melaka pelbagai agensi menonton wayang filem Bullet Train sempena ‘Media Movie Night’ di Element Mall, malam tadi.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata penganjuran itu dilaksanakan secara santai bagi mengeratkan lagi silaturahim dan ikatan persahabatan antara SWM Environment dengan pengamal media Melaka.
Katanya, penganjuran itu juga bertujuan untuk menghargai komitmen pengamal media cetak, dalam talian dan elektronik secara berterusan.
“Malam ini kita hargai pengamal media yang merupakan rakan strategik yang telah banyak membantu dalam melaporkan maklumat berkaitan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan kepada masyarakat.
“Rakan-rakan media juga berperanan penting sebagai ejen kesedaran sosial melalui pelbagai pelaporan positif terhadap inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Jadi kita harapkan dengan program seumpama ini sedikit sebanyak dapat memberi impak positif terhadap jalinan antara SWM Environment bersama pengamal media,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum tayangan filem tersebut bermula di Element Mall, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya hubungan baik SWM Environment bersama pengamal media dapat diteruskan dengan pelbagai bentuk kerjasama bagi membentuk nilai positif dalam kalangan masyarakat terutamanya ke arah pengurusan sisa mampan dan pembudayaan amalan hijau.
“Laporan media yang telus dan seimbang mengenai isu pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam memberi impak positif terhadap kelancaran operasi perkhidmatan syarikat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.