Sorting by

×

SWCorp Melaka buat ‘lawatan mengejut’ ke 400 buah rumah

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Mac. – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka bakal melaksanakan operasi mengejut ke rumah-rumah, khususnya di kawasan taman perumahan seluruh negeri bermula 1 hingga 31 Mac ini.

Pengarahnya Khairuladha Ab Mutalib berkata, sepanjang tempoh itu 400 rumah akan diperiksa penguat kuasa SWCorp bagi melihat sendiri proses pengasingan sisa pepejal yang dilakukan penghuni.

Ujarnya, sekiranya didapati ada penduduk yang tidak mengasingkan sisa pepejal di rumah masing-masing, kompaun akan dikeluarkan selaras Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Kompaun minima RM100 akan dikenakan kepada mana-mana premis yang gagal mengasingkan sisa pepejal dalam tempoh satu hingga tujuh hari.

“Jumlah kompaun akan terus meningkat sehingga RM500 sekiranya pengasingan sisa pepejal masih gagal dibuat dalam tempoh 30 hari dan sekiranya masih tiada tindakan dalam tempoh itu mereka boleh didakwa di mahkamah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairuladha memaklumkan pihak SWCorp Melaka telah mengenal pasti 57 lokasi aktif pembuangan sampah haram di seluruh negeri dan sedang giat melakukan pembersihan bagi menutup kawasan tersebut.

Jelasnya, Melaka Tengah dikesan sebagai daerah paling banyak melakukan pembuangan sampah haram, khususnya membabitkan sisa industri.

“Pembuangan sampah haram ini berlaku tidak kira masa, tetapi kebiasaannya ia dijalankan sekitar lewat petang iaitu jam 6 petang ke atas.

“Apapun, kita akan terus menjalankan operasi intipan untuk mengenal pasti pelaku yang melakukan kegiatan pembuangan sampah secara haram khususnya di kawasan perindustrian,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2361
Kongsi :
Previous post Geng pecah tabung masjid tumpas
Next post KKM temui dua kes pertama jangkitan COVID-19 varian Nigeria B1.525
Ubah saiz-+=