Sorting by

×

SUSU PERCUMA UNTUK ANAK-ANAK HANG TUAH JAYA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER MOLEK 19 Februari – Seramai 6,509 murid daripada lapan buah sekolah rendah di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya menerima tajaan sumbangan susu percuma menerusi Program Susu Sekolah.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim berkata, lapan sekolah terbabit akan menerima sumbangan susu dua kali sebulan bermula Februari sehingga Disember depan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata program tajaan susu tersebut bertujuan untuk meningkatkan tahap kesihatan dan pemakanan murid-murid.

“Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek; SK Paya Dalam; SK Tambak Paya; SK Peringgit; SK Bukit Baru; SK Peringgit; SK Dato’ Demang Hussin; SK Ayer Keroh dan SK Batu Berendam 2.

“Antara objektif program ini adalah untuk pengambilan susu bagi menyokong pertumbuhan dan perkembangan murid; meningkatkan kesihatan murid; meningkatkan tenaga dan daya tumpuan dan memupuk amalan pemakanan sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Program Susu Sekolah Tajaan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya Dengan Kerjasama Farm Fresh di SK Ayer Molek, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Melaka Tengah, Mohd Yusri Seman dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Adam Adli memaklumkan pemberian susu yang diberi itu merupakan inisiatif tambahan pihaknya dan berbeza dengan program susu percuma daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Jelasnya, menerusi program itu setiap pelajar akan menerima 200 mililiter (ml) susu yang dilihat mampu membekalkan nutrisi tambahan.

“Ia seterusnya dapat mendidik murid tentang kepentingan pemakanan seimbang sejak usia muda sebagai asas gaya hidup sihat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

200
Kongsi :
Previous post KAKI PALSU BAWA SINAR BAHARU
Next post ‘PENYANGAK’ KAYU BAKAU KENA CEKUP, DR. AKMAL BURU ‘JERUNG’