
SUSU PERCUMA ATASI ISU MURID ‘BANTUT’
AYER MOLEK 20 Februari – Malaysia berdepan dengan isu membimbangkan iaitu masalah bantut dalam kalangan murid sekolah rendah.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, menurut statistik, 12.7 peratus murid sekolah rendah di negara ini mengalami bantut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya menjelaskan isu tersebut berlaku antara lain disebabkan kekurangan nutrisi.
“Lebih 1 daripada 10 murid sekolah menghadapi masalah pertumbuhan yang mana ia bukan sahaja menjejaskan pertumbuhan fizikal namun memberi kesan kepada keupayaan pembelajaran dan kesihatan secara keseluruhan.
“Sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan saya melihat ramai dalam kalangan atlet negara yang kecil dan rendah berbanding atlet Asia Tenggara yang lain.
“Hal ini kerana negara-negara Asia Tenggara ini mengubah polar pemakanan bermula dari akar umbi iaitu sedari kecil,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya merasmikan Program Susu Sekolah Tajaan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya Dengan Kerjasama Farm Fresh di SK Ayer Molek, di sini, semalam.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD)Melaka Tengah, Mohd Yusri Seman dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, Program Susu Sekolah itu penting dalam memastikan murid-murid di negara ini mendapat keperluan pemakanan yang mencukupi.
“Seterusnya kita harapkan menerusi sumbangan susu ini sedikit sebanyak membantu murid-murid untuk membesar dengan sihat dan cerdas seterusnya menangani isu bantut di negara ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.