Sorting by

×

Suspek kes serang Balai Polis Ulu Tiram dipercayai Ahli Jemaah Islamiyah – KPN

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

JOHOR BAHRU, 17 Mei – Suspek lelaki yang ditembak mati dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini awal pagi tadi, dipercayai ahli Jemaah Islamiyah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata susulan kejadian itu, polis melakukan serbuan di rumah suspek di Ulu Tiram dan menahan lima ahli keluarga lelaki terbabit, berusia 19 hingga 62 tahun.

“Saya juga telah arahkan Bahagian Cawangan Khas untuk mengesan dan mengenal pasti ahli Jemaah Islamiyah yang berada di negeri ini, yang dianggarkan lebih 20 orang,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis dan suspek yang berusia lingkungan 30-an, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.

Mengenai kronologi kejadian Razarudin berkata sebelum insiden berkenaan, dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 22 dan 21 tahun, hadir ke balai untuk mendapatkan nasihat polis berhubung kes cabul yang berlaku dua tahun lepas.

Ketika dua pelajar berkenaan sedang membuat laporan polis, suspek yang menaiki motosikal masuk ke kawasan balai sebelum memarkir motosikal di bahagian belakang balai itu.

“Seorang daripada anggota polis pergi ke belakang balai untuk memeriksa, tetapi beliau diserang dan ditetak mati oleh suspek. Suspek kemudiannya merampas senjata api milik anggota berkenaan,” katanya.

Menurut Razarudin, dua anggota polis yang dimaklumkan mengenai serangan itu telah pergi ke lokasi kejadian sebelum berlaku tembak-menembak sehingga menyebabkan seorang anggota maut di tempat kejadian akibat terkena tembakan pada bahagian pipi dan menembusi kepala.

Suspek turut ditembak mati manakala seorang lagi anggota polis cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul, katanya.

“Daripada siasatan kita dapati suspek yang mati memang telah membuat persediaan…beg yang digunakan sebagai shield (perisai) diletak zink, paper, kain untuk dia bertempur dengan pihak polis. Mungkin dia datang untuk dapatkan senjata api daripada polis untuk agenda yang kita tidak tahu lagi,” katanya.

Razarudin memaklumkan dua pelajar IPT berkenaan turut ditahan untuk siasatan.

“Kita juga telah menahan dua pengadu ini…kalau kejadian dua tahun dahulu (tetapi) datang pada 2 pagi untuk mendapat pendapat polis memang tak logik, kita siasat dan tangkap,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Razarudin berkata anggota yang cedera berada dalam keadaan stabil dan bedah siasat kedua-dua anggota yang maut dilakukan hari ini.

Katanya, keluarga anggota terlibat juga telah dimaklumkan berhubung kejadian itu dan bantuan kebajikan serta insurans akan diuruskan sebaiknya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

182
Kongsi :
Previous post ‘Hadiah’ besarkan enam anak
Next post KPN zahir ucapan takziah kepada keluarga mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram
Ubah saiz-+=