
SUSPEK KES CULIK REMAJA 16 TAHUN MAUT DITEMBAK DI KLANG
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Fadil Marsus berkata pihaknya telah mengesan suspek warga tempatan berusia 21 tahun itu di Jalan Bayu Tinggi, Klang sebelum dia cuba melarikan diri daripada polis.
“Suspek telah bertindak merempuh kenderaan polis, dan pihak kami mengejarnya sebelum dia berjaya dipintas dan berlaku tembak-menembak antara suspek dan anggota polis di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki suspek menemukan sepucuk pistol semi-automatik dan sebilah parang selain pemeriksaan ke atas lelaki itu mendapati tiada sebarang rekod jenayah.
Fadil berkata suspek disyaki sebagai antara individu terbabit dalam kes penculikan remaja perempuan warga tempatan di Seremban, Negeri Sembilan yang telah meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta daripada keluarga mangsa pada 10 April lepas.
Beliau berkata keluarga remaja perempuan itu telah membayar wang berjumlah RM280,000 serta barang kemas dan mangsa dilepaskan keesokkan harinya (11 April) di Sendayan, Negeri Sembilan.
“Kes ini juga menyaksikan polis berjaya menahan tiga lelaki dan tiga wanita kesemuanya berumur dalam lingkungan 21 hingga 30 tahun di Sendayan bagi membantu siasatan dan berjaya menemukan RM230,000 selain rampasan lain yang sedang disemak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.