Suspek kes bunuh suami isteri ditahan di Genting Highlands

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

IPOH, 8 Julai –  Polis berjaya menahan seorang lelaki malam tadi bagi membantu siasatan membunuh sepasang suami isteri di sebuah rumah di Taman Bercham Aman di sini pagi semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berusia 61 tahun itu yang juga adik kepada mangsa lelaki ditahan di Genting Highlands, Pahang kira-kira 7.45 malam.

“Polis juga menjumpai sebilah kapak yang dipercayai senjata digunakan untuk mendatangkan kematian kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi ini untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Menurut Mior Faridalathrash, kes bunuh itu berjaya diselesaikan dalam tempoh 11 jam selepas laporan diterima dan pihaknya mengucapkan terima kasih kepada polis Pahang, pengurusan Resorts World Genting dan orang awam atas kerjasama sehingga suspek berjaya ditangkap dalam masa singkat.

Semalam, mayat suri rumah Ooi Tin Lu, 59, dan suaminya Ng Chun Hon, 64, seorang mekanik ditemukan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan oleh abang Chun Hon yang balik ke rumah selepas bekerja lalu melaporkan kepada polis kira-kira 8.50 pagi.

Pasukan polis bersama pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun yang tiba di tempat kejadian mendapati kedua-dua mayat ditempatkan berdekatan dengan satu daripadanya tertiarap manakala satu lagi tersandar pada dinding dipercayai mati akibat kecederaan di kepala disebabkan senjata tajam dan objek tumpul namun tiada senjata ditemukan.

Susulan itu, polis memburu suspek yang juga adik lelaki Chun Hon yang menghilangkan diri bersama kereta jenis Proton Saga milik Ooi.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1296
Kongsi :
Previous post Bapa, anak maut terperangkap kebakaran
Next post Tiga warga asing maut, empat parah kereta bertembung di Lebuhraya SKVE
Ubah saiz-+=