SUSPEK KEEMPAT KES TETAK, BUNUH DIREMAN TUJUH HARI
JASIN 27 Ogos – Seorang lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian serangan di hadapan sebuah premis gunting rambut di Taman Rim Baru, sehingga mengakibatkan seorang pemandu jengkaut maut, direman tujuh hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superitendan Ahmad Jamil Radzi berkata, permohonan reman itu dibuat pihaknya di Mahkamah Majistret Jasin, selepas suspek berusia 21 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam tadi.
“Permohonan reman terhadap suspek terbaru itu dibenarkan selama tujuh hari iaitu sehingga 2 September ini, ia bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 dijalankan.
“Dengan tangkapan terbaru ini, kami menahan empat lelaki bagi membantu siasatan, gerakan sedang dijalankan untuk memburu beberapa lagi individu disyaki terbabit dalam kejadian sama,” katanya.
Ahmad Jamil berkata, berdasarkan kepada siasatan awal kejadian itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang berlaku sebelum ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut dipercayai ditetak sekumpulan lelaki bertopeng dalam kejadian di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Rim, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superitendan Ahmad Jamil Radzi berkata, akibat daripada kejadian itu, mangsa berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia pada jam 10.15 malam ketika dirawat di Hospital Jasin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.