Suspek bingung lepas tikam ibu
TANGGA BATU 5 Julai – “Ketika kami masuk, suspek hanya diam dan bingung. Seolah-olah tiada apa berlaku”.
Itu kata saksi kejadian kes bunuh seorang wanita warga emas di Kampung Paya Luboh di sini.
Jamaliah Md Jamil, 35, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, dia sedang berada di kedai runcit sebelum terdengar jeritan seorang wanita dari rumah yang terletak kira-kira 10 meter dari premisnya.
Pada waktu itu, katanya, dia ternampak wanita berusia 30-an yang juga anak perempuan mangsa dalam keadaan panik dan bajunya berlumuran darah.
Susulan itu dia bergegas memanggil jiran dan orang ramai yang berada berhampiran untuk memanjat masuk ke rumah mangsa yang ketika itu berkunci.
Menurutnya, sekumpulan empat lelaki yang berjaya masuk terus meluru ke arah suspek yang juga anak sulung mangsa berusia 40-an.
“Saya dimaklumkan suspek langsung tidak melawan. Adiknya menjerit ‘Along keluar sekarang’ dia hanya keluar tanpa berkata apa-apa.
“Apa yang saya difahamkan mangsa berada di dalam bilik tidur dan mempunyai kesan tikaman di leher dan saya terus menghubungi pihak polis,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Jamaliah mendakwa, suspek sebelum ini diketahui mempunyai kes berkaitan dadah.
Namun, dia tidak menyangka suspek sanggup bertindak sedemikian kerana dia dikenali sebagai seorang yang ramah dengan masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.