Suruhanjaya Pasukan Polis tentukan calon Timbalan Ketua Polis Negara – KPN

Masa Membaca:2 Minit, 49 Saat

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) akan menentukan calon yang layak bagi menggantikan kekosongan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang akan bersara wajib pada 14 Mac ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai beberapa calon yang layak dan dikenal pasti bagi mengisi kekosongan itu sebelum diputuskan SPP.

“Insya-Allah kami ada beberapa penjawatan tinggi dalam pasukan akan dikosongkan ekoran persaraan wajib. Oleh yang demikian apa sahaja keputusan, pemilihan dan penentuan akan dilakukan melalui mesyuarat oleh Suruhanjaya Pasukan Polis tidak lama lagi.

“Sudah ada beberapa calon yang layak akan dipertimbangkan oleh suruhanjaya untuk tentukan lantikan jawatan utama tersebut dan jawatan-jawatan lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM Tahun 2022 di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini, hari ini.

Razarudin dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 26 Dis 2021 bagi menggantikan Tan Sri Mazlan Lazim yang bersara wajib.

Razarudin sebelum itu merupakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Sementara itu, mengulas mengenai operasi menyelamat mangsa banjir di Johor, Acryl Sani berkata PDRM telah menghantar seramai 369 pegawai dan anggota ke negeri itu.

“Kami sedia maklum banjir Johor kali ini antara yang terburuk sejak banjir 2006. Kami telah gerakkan tenaga kerja, sumber manusia dan aset PDRM,” katanya.

Beliau turut memaklumkan operasi kepolisan di Balai Polis Caah di daerah Segamat yang dinaiki air telah dihentikan sementara waktu bagi memberi laluan kepada urusan baik pulih.

“Selain itu, kuarters polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat juga turut dinaiki air dan seramai 126 mangsa telah dipindahkan ke PPS, manakala operasi Balai Polis Bahau yang turut terkesan banjir pula masih diteruskan kerana hanya pagarnya sahaja yang runtuh,” katanya.

Pada masa sama, Acryl Sani berkata PDRM akan meminta Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) supaya memanjangkan tempoh operasi pusat panggilan kepada 24 jam sehari berbanding 12 jam sehari ketika ini.

Beliau berkata terdapat banyak permintaan dan keluhan orang ramai yang mendakwa apabila mereka membuat panggilan kepada pusat panggilan NSRC pada waktu-waktu tertentu, ia seolah-olah tidak responsif.

“Setakat ini, pusat panggilan NSRC beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja. Ada permintaan daripada orang ramai untuk panjangkan operasinya kerana katanya apabila mereka telefon pada pukul 10 malam misalnya, ia tidak responsif.

“Selain itu, sebenarnya masih ramai orang awam yang ragu-ragu dengan nombor hotline NSRC iaitu 997. Nombor ini diperkenalkan oleh NSRC yang diketuai Bank Negara Malaysia (BNM) dan dianggotai agensi-agensi lain termasuk PDRM, bertujuan untuk mengurangkan kesan penipuan yang dibuat mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau menyeru supaya orang awam yang merasakan terperdaya atau telah membuat transaksi kewangan perbankan secara dalam talian akibat scam, supaya segera menghubungi 997, agar tindakan penyekatan akaun dan aliran tunai boleh dilakukan.

“Di sini juga saya minta media perlu sentiasa menyebarluaskan isu-isu scam ini kerana penipu ini tidak pernah berehat dan sentiasa mencari kaedah baru untuk tipu mangsa-mangsa ini. Ini dah jadi satu trend kerana kalau tak bendung melalui kesedaran atau pengetahuan, maka kita tidak akan dapat mengatasi masalah ini,” katanya.

NSRC ditubuhkan bagi membantu mangsa penipuan siber agar bertindak segera daripada terus menanggung kerugian akibat pengeluaran wang tanpa sekatan.

NSRC menggabungkan kerjasama PDRM, BNM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) sebagai inisiatif membendung penipuan secara dalam talian.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1684
Kongsi :
Previous post Jari kelingking membengkak, cincin tersangkut
Next post Buang Al-Quran: Dua lagi individu dirakam keterangan
Ubah saiz-+=